Terkejut tahu gerai di Sungai Golok jual petrol seludup dari Malaysia macam jual ‘air balang’

Kegiatan menyeludup bahan bakar bersubsidi RON95 ke negara jiran amat membimbangkan.

Rakyat negara ini dikatakan menjadi dalang aktiviti penyeludupan ke Thailand, menyukarkan pihak berkuasa mengesan jejak mereka.

Penjual didakwa menjual petrol dalam botol satu liter sekitar 28 baht (RM3.64) hingga 250 baht (RM32.50) untuk tong sembilan liter, menurut tinjauan Bernama.

Lebih 100 peniaga kecil di negara itu didapati menjual petrol dan diesel seludup walaupun pihak berkuasa Thailand dikatakan sudah beberapa kali menegur perbuatan tersebut.

Laporan itu mendakwa, puluhan gerai di tepi jalan di Sungai Golok menjual petrol subsidi milik Malaysia secara terbuka.

Salah seorang peniaga yang dikenali sebagai Saleeha Abdullah mengakui, ramai peniaga yang menjual petrol dan diesel seperti menjual air minuman.

“Jika daripada jenama yang agak terkenal harganya agak tinggi, tetapi kesemuanya diperoleh dari Malaysia.

“Sepanjang jalan ke bandar Narathiwat memang ramai yang berniaga seperti ini dan seolah-olah berniaga air minuman,” katanya seperti dilapor Bernama.

Mat Yi pula berkata, dia memperoleh bekalan petrol daripada pembekal di Rantau Panjang, Pasir Mas.

Biarpun mengetahui bahawa adalah satu kesalahan jika menjual minyak petrol dan diesel yang diseludup dari Malaysia, Mat Yi berkata ramai sudah berbuat demikian.

Kerajaan sedang dalam usaha untuk melaksanakan penyasaran subsidi RON95 untuk mengelakkan bahan api bersubsidi itu tidak disalahguna.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mempunyai mekanisme untuk melaksanakan penyasaran subsidi itu iaitu dengan mempertimbang cadangan supaya rakyat Malaysia menunjukkan MyKad di pam minyak.

BACA JUGA KKM nafi tangkap layar tular dakwa kerajaan naikkan caj khidmat kesihatan

Â