Dakwaan anak Abuya dikurung dan didera, polis buka mulut tentang suspek

Sebelum ini gempar satu negara apabila anak bekas pengasas Al-Arqam, Ummu Atiyah mendakwa dia didera dan dipaksa berkahwin dengan pemimpin Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).

Dalam perkembangan terbaharu mengenai kes terbabit, polis mengesahkan terdapat empat lelaki yang disyaki terlibat mendera Ummu Atiyyah, anak Ashaari Muhammad.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua suspek adalah berusia 20 tahun ke atas berdasarkan laporan polis yang dibuat mangsa.

Beliau bagaimanapun menegaskan pihak polis tidak pernah tergesa-gesa dalam menyiasat kes ini seperti yang didakwa segelintir pihak.

“Kami juga tidak bertindak sebarangan dalam melakukan tangkapan sebaik menerima laporan seperti ini (dakwaan Ummu Atiyyah) yang mungkin menjadi persepsi orang ramai dan itu adalah salah.

“Kami akan menjalankan siasatan sebaik menerima laporan, malah semalam kami ke Ipoh sebaik menerima laporan.

“Setakat ini, kami serba sedikit tahu (mengenai suspek) dan akan memanggil mereka untuk dirakam keterangan,” katanya di Taman Negara Kuala Tahan, hari ini, menurut Berita Harian.

Semalam, Ummu Atiyah dibawa ke perkampungan GISBH di Batu Hampar, Beruas, Manjung, Perak untuk menunjukkan kepada polis lokasi dirinya didakwa dikurung selama sebulan oleh pengikut GISBH.

Dia yang memakai baju kebarung kelabu dan berselendang putih dilaporkan tiba di Balai Polis Padang Gajah di Trong pada pukul 11 pagi untuk memberi keterangan.

Ummu Atiyah kemudian diiringi ke lokasi, mengenal pasti beberapa kawasan seperti yang didedahkan sebelum ini dalam sidang media bagi membantu siasatan polis.

Ia termasuk sebuah bilik di rumah satu tingkat yang mana dia mendakwa telah ditahan.

BACA JUGA KP Pas tak buat ‘fact check’, sindir pimpinan sendiri isu hapus hutang PTPTN