Dah jadi mak bapak pun mungkin kena masuk PLKN 3.0

Anak muda berusia 35 tahun dan ke bawah akan menjadi peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang akan dilaksanakan secara berperingkat bermula Januari tahun hadapan.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, PLKN 3.0 dengan peruntukan mencecah RM50 juta itu juga menyasarkan peserta berusia 16 tahun iaitu dalam kalangan pelajar tingkatan empat.

Menurutnya, program rintis itu melibatkan kira-kira 500 peserta di dua kem tentera, di Kuala Lumpur dan Pahang.

Ia kemudian akan diperluaskan ke 13 kem di seluruh negara menerusi pelaksanaan penuh pada 2026.

“Kalau ikut perancangan awal (bermula) pertengahan 2025 tetapi terdapat keperluan untuk dilaksanakan lebih awal.

“Kita tumpukan di dua kem untuk dijadikan projek perintis PLKN 3.0 sebelum dilaksanakan secara lebih besar pada Jun tahun hadapan,” katanya kepada pemberita di Hutan Percha di Alor Gajah, Melaka hari ini.

Adly berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Jiwa Murni Peringkat Melaka yang turut dihadiri Panglima 3 Divisyen Mej Jen Datuk Zahari Mohd Ariffin.

Beliau berkata jumlah peserta PLKN 3.0 akan ditambah pada pengambilan Jun dengan menyasarkan peserta berusia 16 hingga 35 tahun dalam kalangan pelajar tingkatan empat, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

BACA JUGA Utara Semenanjung dilanda hujan lebat, ribut petir