Baru tahu nama isteri Tun Mahathir bukan Siti Hasmah rupanya
Walaupun selama ini tidak berkata apa-apa apabila dipanggil sebagai Siti Hasmah, namun kali ini isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu mendedahkan bahawa nama sebenarnya bukanlah seperti yang disebut-sebut ramai.
Menurut Tun Dr Hasmah Mohamad Ali, dirinya dilahirkan dengan nama sebenar iaitu Hasmah dan bukanlah ‘Siti Hasmah’ seperti yang digelarkan selama ini.
Mengenai nama Siti, Dr Hasmah berkata sebenarnya gelaran itu diberikan selepas beliau dan Dr Mahathir berpindah ke Kuala Lumpur.
“Saya perlu betulkan… Saya bukan Siti. Saya tidak dilahirkan sebagai Siti Hasmah. Saya hanya lahir (dengan nama) sebagai Hasmah
“Ketika itu ada Siti Nurhaliza. Ada Siti itu, ada Siti ini. Jadi mereka letakkan nama Siti di hadapan nama saya. Tetapi saya bukan (Siti Hasmah), saya hanya Dr Hasmah,” katanya ketika ditemu bual dalam podcast khas, ‘Coffee with Ryan’ kelmarin.
Untuk rekod, Dr Hasmah dan Dr Mahathir sudah berkahwin selama 68 tahun dan mereka menetap di Alor Setar selepas mendirikan rumah tangga sebelum kembali menetap di Kuala Lumpur.
Dr Hasmah adalah wanita Malaysia pertama dilantik sebagai pegawai perubatan di Jabatan Kesihatan Ibu dan Anak serta wanita Malaysia pertama memegang jawatan Pegawai Kesihatan Ibu dan Anak negeri.
BACA JUGA Kenapa bendera Palestin boleh, China tak boleh, Pemuda MCA terangkan