Gembira terima sumbangan, kelengkapan Deepavali daripada PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan bantuan dan kelengkapan perayaan Deepavali kepada keluarga Jayalechmi di Klang, Selangor.

Menerusi catatan di Facebook, Anwar berkata sumbangan berkenaan disampaikan oleh Setiausaha Politiknya Ahmad Farhan Fauzi, semalam dalam sesi Ziarah MADANI.

“Puan Jayalechmi bekerja sebagai Pengawal Keselamatan dan suaminya pula bekerja sebagai kelindan lori perlu menyara empat orang anak yang masih bersekolah rendah.

“Moga sumbangan ini meringankan beban kehidupan dan memeriahkan lagi sambutan kehadiran Hari Deepavali pada kali ini,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan dan kelengkapan sama kepada keluarga Joselyn Dewi.

Beliau berkata, Joselyn perlu memikul amanah selaku ketua keluarga selepas kematian bapa manakala ibunya pula pulang ke Filipina.

“Beliau juga perlu membesarkan dua orang adik beradik yang masih bersekolah serta seorang adik bongsu yang menghidap autisme.

“Joselyn turut memaklumkan masalah beliau untuk mendapatkan kad pengenalan dan saya telah meminta saudara Farhan untuk membantu memanjangkan permohonan ini sesegera mungkin,” kata Perdana Menteri lagi.

BACA JUGA ‘Takkan orang yang sudah disaman fitnah berkali-kali, anda percaya?’

Â