Dewan Rakyat arah MP Pendang kemuka bukti atau mohon maaf
Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim diarah untuk mengemukakan bukti berhubung dakwaannya bahawa wang tunai sebanyak RM94 juta telah ditemukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kediaman seorang bekas menteri.
Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul memberi dua pilihan kepada beliau sama ada untuk mengemukakan bukti atau membuat permohonan maaf.
Ketika ‘ruling’ dibuat, Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu tiada di dalam Dewan.
“Saya ikuti apa yang berlaku, perbahasan di kamar saya. Jadi saya ada dua pilihan. Pilihan pertama adalah saya proseskan usul yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Jelutong dan akan panjanglah cerita dia hingga membawa ke Jawatankuasa.
“Pilihan kedua yang saya ada ialah kita selesaikan di sini secara baik supaya kalau sekiranya Ahli Parlimen Pendang merasakan selain daripada bukti-bukti yang dia ada, sekiranya dia terlanjur, dia minta maaf.
“Saya melihat hansard balik ya. Pada 4 November , ya saya merasakan memang Pendang terkhilaf apabila menyebut sebanyak tiga kali (tentang penemuan RM94 juta),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian selepas RSN Rayer (PH-Jelutong) membentangkan usul untuk merujuk Ahli Parlimen itu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan Dewan.
Speaker berkata, beliau telah menerima salinan kenyataan yang daripada SPRM yang menjelaskan bahawa Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Azam Baki, tidak pernah membuat sebarang kenyataan berhubung penemuan wang tunai RM94 juta seperti yang dinyatakan oleh Ahli Parlimen Pendang.
Justeru menurutnya, Ahli Parlimen Pendang perlu hadir ke Dewan untuk memberi penjelasan supaya isu ini dapat diselesaikan secara baik.
“Saya tidak tahu sama ada Pendang ada bukti-bukti lain selain apa yang telah saya nyatakan seperti termaktub dalam surat ditulis SPRM kepada saya.
“Oleh kerana Pendang tiada di sini, saya mohon kalau boleh Ketua Whip maklumkan kepada Pendang, bahawa ada dua pilihan. Pilihan pertama, dia masuk (Dewan) jelaskan kalau dia ada bukti, tunjukkan bahawa ini adalah bukti dan SPRM juga salah serta siasatan telah dibuat.
“Kalau tidak, dia minta maaf sahajalah, cukup. Saya rasa itu adalah yang terbaik, terpulanglah kepada dia,” katanya lagi.
BACA JUGA Isu NAFAS: Menjawab fitnah poster dari pembangkang
Â