Anak muda mesti bangkit elak ditimbus tiga ‘penjajah’ ini

Oleh NORMAN RADZUAN

Saya sering ke pasara raya dan melihat gadis jurujual seperti di Parkson dan Metrojaya, rata-rata sedang bermain telefon atau berborak sesama sendiri.

Dia punya borak sampai kita boleh dengar cerita dari A ke Z tanpa pedulikan kita yang sedang mencari saiz baju.

Muncul kebimbangan saya mengenai sikap mereka ini. Apa jadi dalam tempoh lima tahun nanti apabila AI menguasai dunia. Jika bekerja secara sepenuh masa dan dibuang kerja, bagaimana nasib mereka?

Ketika si jadong (jahat, bodoh, sombong) sedang membodohkan dan mengkhayalkan orang Melayu kononnya ancaman mereka adalah orang Cina, tanpa kita sedari ancaman sebenar kepada bangsa kita adalah kehadiran teknologi AI dan warga asing.

Saya pernah meramalkan dalam penulisan pada tahun 2012 bahawa surat khabar sudah tidak relevan menjelang 2020.

Tulisan itu mendapat teguran seorang rakan wartawan yang gusar dengan ramalan itu.

Mungkin berasa tidak selesa memandangkan dirinya masih bergelar wartawan ketika itu.

Rupanya ia berlaku lebih awal. Menjelang 2017 lagi surat khabar sudah tidak laku. Rata-rata media cetak yang ada sekarang jualan hanya sekitar 20,000 sahaja.

Media sosial kini mengatasi media cetak. Berita di kaca TV pun bukan lagi pilihan majoriti masyarakat dunia. Media mainstream juga telah beralih kepada online untuk kekal relevan.

Kini teknologi AI muncul yg mengakibatkan jutaan pekerjaan akn diambil alih teknologi ini.

Ingat AI bermaksud Kecerdasan Buatan bukannya bermaksud Kepandaian Tiruan. Yang bercakap begitu orang tak pandai tapi buat pandai dan itulah yang dinamakan Kepandaian Tiruan.

Anak muda dalam program bersama Perdana Menteri di Kolej Vokasional Langkawi tahun lalu.

Tahukah anda begitu byk peluang pekerjaan akn hilang kerana AI ini. Antaranya:

  1. Kerani kemasukan data.
  2. Kerani akaun, simpan kira dan gaji.
  3. Setiausaha eksekutif dan pentadbiran.
  4. Pekerja kilang dan peasangan.
  5. Pekerja khidmat pelanggan dan maklumat klien.
  6. Pengurus pentadbiran dan khidmat perniagaan.
  7. Akauntan dan juruaudit.
  8. Kerani simpan bekalan dan bahan.
  9. Pengurus besar dan operasi.
  10. Kerani perkhidmatan pos.
  11. Pemandu GRAB
  12. Wakil perkhidmatan pelanggan
    14 Sokongan pentadbiran
  13. Ejen pelancongan
  14. Jurujual runcit
  15. Wartawan peringkat permulaan
  16. Pembaca pruf
  17. Penterjemah
  18. Pembantu undang undang
  19. Penganalisis data
  20. Pekerja Gudang dan banyak lagi.

Dari senarai ini kita dapat melihat bagaimana semua bank di seluruh dunia sedang mengecilkan staf mereka kerana kecanggihan teknologi/AI.

Sebenarnya, sebelum kemunculan AI, teknologi telah banyak mengambil alih tugas manusia.

Antaranya pekerja tol, pekerja parking, operator, kedai gambar, pondok telefon adalah antara pekerjaan dan benda yang telah pupus walaupun sangat penting suatu ketika dahulu.

Kemudian lebih memeritkan lagi pekerjaan yang dulu dilakukan oleh orang Melayu atau bangsa lain seperti di 7E, pengawal keselamatan, hotel, petani, pekerjaan kilang, pekerja restoran telah diambil alih oleh warga asing.

Jika bertanya kepada saya kenapa warga asing menjadi pilihan? Jawapannya mudah, mereka berdisiplin, rajin, gaji tidak terlalu mahal dan tidak memeningkan kepala majikan.

Ambil pekerja tempatan kena marah terus berhenti, kerja nak senang gaji nak tinggi, jadi pengawal keselamatan jam 12 malam sudah tidur atau tiada di post, kerja 7E mencuri atau dapat gaji berhenti dan akhirnya peluang pekerjaan itu kini diambil alih warga asing yang jumlah kini mencecah lebih 2 juta orang.

Salah siapa? Semua ini kerana sikap kita! Kita malas tapi hanya tahu bercakap.

Sewaktu saya di China, saya dapat melihat sendiri bagaimana hebat negara itu hingga membuatkan Amerika Syarikat (AS) sangat cemburu. Tiga bandaraya utama yang saya kunjungi seperti di Beijing, X’ian dan Shenzhen tiada bandingan dengan bandaraya negara kita.

Kemajuan China begitu pantas hingga AS, Eropah dan Jepun tidak mampu mengejar mereka. Dengan populasi yang begitu tinggi, mereka tidak tergugat jika cuba disabotaj kerana mereka negara pembuat dan dengan lebih 2 bilion rakyatnya, mereka boleh menjana ekonomi domestik.

Bloomberg Economist menjangkakan China bakal menjadi kuasa ekonomi terbesar dunia seawal tahun 2031, memintas AS yang memonopoli gelaran kuasa ekonomi nombor satu dunia selama lebih seabad.

Namun, orang Melayu dibodohkan kononnya rakyat China bawa lima bendera nak jajah Malaysia.

Padahal, rakyat Malaysia kibarkan 2 km bendera Malaysia di Tembok Besar China, sedikit pun rakyat China tidak hairan.

Kebimbangan saya adalah masa depan generasi Gen Z ini. Generasi yg dikatakan manja, tidak agresif (hanya duduk di bilik), bergantung kepada keluarga dan bermacam-macam lagi untuk mengharungi dunia yang mencabar ini.

Bayangkan, saya minta staf untuk panggil temuduga, mereka (Gen Z) ini yang tetapkan tarikh dan masa bukan majikan.

Gez Z mendapat maklumat dari Tik Tok yang digunakan oleh jadong untuk membodohkan anak-anak muda dengan sentimen perkauman.

Sedangkan teknologi yang pantas ini memerlukan anak-anak muda terutama anak-anak Melayu bangun dari kemalasan. Sudahlah malas bekerja, malas berfikir dan akhirnya bangsa ini dijajah tanpa disedari.

Dijajah oleh teknologi, dijajah oleh warga asing dan dijajah oleh politikus jahat (jadong) dan kapitalis.

Akhirnya, anak bangsawan atau ahli politik sahaja yang boleh berjaya. Boleh dapat pinjaman dan geran berjuta ringgit.

Anak Melayu masih takut tidak bersama parti tertentu masuk neraka. Masih tunggu Imam Mahdi lalu terpaksa ikut jamaah, terpukau dengan mimpi lalu terpaksa ikut parti tertentu.

Bangkitlah anak-anak muda. Jangan malas bekerja dan jangan malas berfikir. Bangun dari katil empukmu kerana hanya pelacur yang bekerja dari atas katilnya. Ini zaman semua serba pantas.

BACA JUGA Kemenangan bersejarah buat Malaysia, tuntutan US$15 bilion tidak diiktiraf