PM suarakan kekejaman Israel di Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab-Islam

Perdana Menteri berkata beliau akan membawa suara dan mandat rakyat Malaysia sewaktu Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab-Islam bagi membincangkan serangan dan kekejaman berterusan rejim Zionis Israel ke atas Palestin dan Lubnan.

Kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, belum ada dalam sejarah dunia, satu negara boleh melanggar semua peraturan dan undang-undang, membunuh kanak-kanak dan wanita, serta melakukan kekejaman dengan merampas tanah.

Beliau melihat tindakan pengganas Israel itu seolah-olah mahu melenyapkan rakyat Palestin daripada bumi Gaza dan ianya tidak boleh dibiarkan.

“Esok kita adakan mesyuarat tergempar negara Islam-Arab di Riyadh, Arab Saudi. Saya dan Presiden El-Sisi akan hadir dan kita harap muktamar ini dapat membincangkan isu keganasan rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.

“Sebenarnya, Malaysia sudah cuba menyampaikan pandangan kepada rakan kita di negara Arab dan Islam yang disebut sebagai Global South atau Pakatan Negara Selatan untuk mendesak Israel disingkir sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya berucap di hadapan lebih 1,500 kakitangan dan pelajar Universiti Al-Azhar Al-Sharif, pada program syarahan umum gari ini, memetik BH online.

Perdana Menteri ketika ini dalam lawatan rasmi empat harinya ke Mesir atas undangan daripada Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman bagi menghadiri persidangan khas di Riyadh.

BACA JUGA PM curi-curi masa buat kerja dalam kapal terbang

Â