Kecoh ADUN bincang rasuah: Lip Eng mahu dedah di Parlimen jika saksi beri maklumat
Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng meminta agar pemberi maklumat yang mendedahkan mengenai beberapa ADUN mengambil rasuah, untuk segera menghubunginya sebelum sidang Parlimen berakhir pada pertengahan Disember ini.
Lim dalam satu kenyataan berkata, beliau bersedia menjadi orang tengah untuk mendedahkan nama mereka yang terlibat di dalam Parlimen.
“Untuk menegakkan undang-undang, saya menggesa pemberi maklumat untuk menghubungi saya sebelum sidang parlimen berakhir pada pertengahan Disember.
“Saya bersedia untuk mengemukakan bukti dan mendedahkan nama mereka yang terlibat di Parlimen, mendesak pihak berkuasa untuk mengambil tindakan segera terhadap mereka,” katanya hari ini.
Perkara 63(2) Perlembagaan Persekutuan memberi kebebasan kepada Ahli Parlimen dan imuniti daripada dikenakan tindakan undang-undang berkenaan dengan apa-apa jua yang dikatakan ketika prosiding di Parlimen.
Media tempatan melaporkan, lapan rakaman video mengaitkan beberapa Adun didakwa sedang membincangkan rasuah bernilai ratusan ribu ringgit sebagai balasan untuk mendapatkan projek di sebuah negeri.
Ini termasuk mereka yang memegang jawatan kanan dalam pentadbiran negeri tersebut.
Difahamkan terdapat lebih banyak rakaman video juga melibatkan Adun-Adun lain daripada negeri itu.
BACA JUGA Kes buli UPNM: Polis sahkan suspek utama dipanggil petang ini
Â