Wan Fayhsal cadang jenazah Daim dikebumi di Makam Pahlawan

Armada Bersatu mencadangkan jenazah Tun Daim Zainuddin diberi penghormatan negara dengan solat jenazah didirikan di Masjid Negara dan disemadikan di perkarangan Makam Pahlawan.

Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal berkata perkara tersebut sebagai menghargai sumbangan besar bekas Menteri Kewangan berkenaan kepada negara.

Menerusi kenyataannya di platform X sebentar tadi, Wan Fayhsal menyifatkan Allahyarham sebagai telah banyak menyumbang khidmat jasa kepada perjuangan agama, bangsa dan negara.

Dilaporkan, jenazah dibawa ke Bukit Tunku sebelum disembahyangkan di Masjid Wilayah Persekutuan selepas solat Asar nanti.

Daim menghembuskan nafas terakhir di Hospital Assunta, Petaling Jaya pagi tadi pada usia 86 tahun.

Ahli politik veteran dan ahli perniagaan berkenaan sebelum ini dilaporkan menghidap strok dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Sahabat rapat Tun Dr Mahathir Mohamad itu menduduki jawatan Menteri Kewangan dari 1984 hingga 1991, dan kali kedua pada 1999 hingga 2001.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama lima penggal antara 1982 dan 2004.

BACA JUGA Mahathir dakwa Daim diherdik tanpa sebab