Menteri jawab kenapa penduduk yang setuju Kampung Sg Baru dibangun dapat pampasan lebih tinggi
Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa menjelaskan mengapa sebahagian besar penduduk yang bersetuju dengan pembangunan Kampung Sungai Baru memperoleh pampasan lebih tinggi berbanding penduduk yang enggan berpindah.
Zaliha berkata, pemberian pampasan kepada pemilik hartanah sebenarnya dilaksanakan mengikut dua kaedah bergantung kepada keputusan golongan itu sama ada bersetuju atau tidak.
Menurutnya, pemilik yang bersetuju dengan usaha sama pembangunan akan mendapat pampasan lebih tinggi kerana nilai itu didasarkan pada nilai masa depan (future value) hartanah di Kampung Sungai Baru.
“Sebaliknya, pampasan untuk pemilik yang menolak pengambilan tanah, ditentukan berdasarkan nilai pasaran semasa mengikut peruntukan Akta Pengambilan Tanah 1960 dan penilaian daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).
“Ini dilakukan bagi memastikan nilai pampasan mencerminkan nilai hartanah semasa dan mengikut undang-undang sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025, peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengenai pemilik hartanah yang enggan keluar, Zaliha berkata selepas pampasan dibayar dan notis dikeluarkan, pemilik tidak lagi mempunyai hak ke atas hartanah itu.
Manakala pemilik yang terbabit dalam usaha sama dengan pemaju akan menerima rumah ganti yang akan dibina di Kampung Sungai Baru manakala pemilik yang tanahnya diambil alih, mereka perlu membeli hartanah jika ingin kembali menetap di kawasan itu.
Pada masa sama Zaliha berkata, pihak pemaju sudah memulakan prosiding undang-undang untuk mendapatkan perintah milikan kosong bagi unit yang masih dihuni.
BACA JUGA Apa jadi dengan kes mahkamah Daim selepas ini? SPRM beri penjelasan