‘Kehilangan sebutir permata yang tidak ternilai’
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengucapkan takziah kepada keluarga Seniman Negara Tan Sri Dr Ahmad Nawab yang meninggal dunia hari ini.
Beliau menyifatkan pemergian penggubah lagu tersohor itu sebagai kehilangan sebutir permata yang tidak ternilai harganya.
“Sumbangan Allahyarham dalam bidang berkenaan terlalu besar.
“Sejak era 1950-an, beliau telah menggubah lebih 2,000 lagu, menghasilkan lebih 200 album dan melahirkan ramai nama besar dunia seni suara.
“Allahyarham pernah berkhidmat dengan Orkestra Radio Televisyen Malaysia (RTM) selama 17 tahun, selain dianugerahkan gelaran Seniman Negara ketujuh pada 2006.
“Kehilangan ini pastinya sangat dirasai, bukan sahaja oleh penggiat industri, tetapi juga peminat, serta pendengar muzik tempatan amnya,” katanya menerusi hantaran di Faceboook.
Kira-kira 3.15 petang tadi, Ahmad Nawab atau nama sebenarnya Ahmad Khan Nawab Khan menghembuskan nafas terakhir di kediaman beliau di Taman Melewar, Gombak, Selangor.
Allahyarham yang meninggal dunia pada usia 92 tahun akibat sakit tua itu dijangka dikebumikan esok pagi di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Kuala Lumpur-Karak.
Sejak berusia 16 tahun berkecimpung dalam dunia muzik, sahabat baik Seniman Agung P. Ramlee itu telah menghasilkan lebih 200 album untuk artis tempatan dan Indonesia.
Beliau turut dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang sastera daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2000.
BACA JUGA Seniman Negara Ahmad Nawab meninggal dunia
Â