Selepas heboh barangan rumah dan empat kereta disita, ini respon Datuk Vida
Selepas heboh segala barangan rumah dan empat kereta mewah disita, Datuk Seri Vida tampil memberitahu telah melantik peguam bagi menyelesaikan isu tersebut.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagram sebentar tadi, usahawan kosmetik berkenaan memohon diberi ruang bagi menyelesaikan isu berkaitan isu hutang mencecah lebih RM1 juta itu.
“Saya mengambil perkara ini dengan serius dan akan memberikan sepenuh perhatian terhadap isu yang dibangkitkan.
“Saya telah melantik peguam untuk menasihati dan membantu saya dalam menyelesaikan perkara ini dengan cara yang terbaik dan mengikut lunas undang-undang,” kata penyanyi ‘I Am Me’ itu.
Dalam masa sama, Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, 53, menghargai sokongan semua pihak.
Terdahulu dilaporkan, barangan rumah dan empat kenderaan mewah milik Vida di Ipoh, disita selepas gagal melunaskan tunggakan bayaran ubah suai bangunan kilangnya.
Vida didakwa gagal menjelaskan bayaran baki tunggakan kilangnya di Shah Alam, Selangor, yang dijadikan sebuah studio pada tahun 2018 berjumlah RM1,060,285.
Perintah penyitaan terhadap ibu pelakon Cik B itu dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.
BACA JUGA Tunggakan RM1 juta, ini rupanya punca barang rumah dan empat kereta Datuk Vida disita
Â