Ini sebabnya penjawat awam negeri diminta pakai kain benang Johor setiap Jumaat tahun depan
Setiap Jumaat bermula tahun depan, semua penjawat awam Johor diminta memakai baju kurung dan baju Melayu teluk belanga bersama Kain Benang Johor sebagai baju kerja.
Langkah itu bertujuan mempromosikan Kain Benang Johor yang merupakan hasil kraf negeri kepada pelancong tempatan dan luar negara, kata Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya negeri, K Raven Kumar.
“Pemakaian oleh pegawai kerajaan merupakan satu strategi promosi untuk memperkenalkan produk Kain Benang Johor.
“Produk kraf tangan berkenaan kini semakin dikenali dan diminati,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, hari ini.
Beliau menjawab soalan Gan Peck Cheng (PH-Penggaram) mengenai langkah kerajaan dalam mempromosikan hasil kraf tangan Johor agar menjadi daya tarikan pelancongan negeri.
Menurut Raven Kumar, kerajaan negeri juga menerusi Yayasan Warisan Johor (YWJ) akan menawarkan bidang tenunan dalam program pendidikan Perintis Seni Johor bermula tahun depan sebagai usaha mencari bakat dan tenaga mahir dalam bidang itu.
Jelasnya, program itu bakal dilaksanakan selama tiga bulan atau 12 minggu berdasarkan modul disediakan jabatan dalam bentuk latihan asas kepada pengenalan dan penghasilan produk tenunan berkaitan Kain Benang Johor.
Untuk rekod, Kain Benang Johor dahulunya dikenali sebagai Kain Tenun Muar yang diperkenalkan pada pertengahan abad ke-18 di Muar, Johor.
YWJ dengan bantuan pakar dan pereka tekstil Malaysia mencipta 10 reka bentuk baharu secara eksklusif untuk kerabat diraja, dan juga untuk rakyat biasa.
Antaranya ialah kain yang diberi nama Songket Johor Jauhar dan Songket Johor Medini untuk Sultan Johor, Songket Johor Maharani untuk Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan Songket Tunku Mahkota Johor untuk Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim Ismail.
BACA JUGA Amaran hujan sangat lebat tahap bahaya, buruk di enam negeri hingga 29 November
Â