Banjir Pantai Timur kali ini dijangka lebih buruk berbanding bah kuning 2014
Bencana banjir yang melanda Pantai Timur kali ini dijangka lebih teruk berbanding bah kuning pada 2014, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Jangkaan itu dibuat berdasarkan ramalan dikeluarkan Jabatan Meteorologi (METMalaysia).
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, kerajaan akan memantau rapat bencana itu berdasarkan pandangan daripada METMalaysia.
“Situasi yang akan berlaku berdasarkan kepada ramalan dan METMalaysia merasa lebih positif sebenarnya dalam perkara ini.
“Setakat ini, Kelantan kawasan paling terjejas teruk melibatkan daerah jajahan Pasir Mas dan juga di Tanah Merah,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kecemasan bencana banjir, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan telah bersedia lebih awal dan melakukan siap siaga termasuk mengaktifkan sistem amaran awal oleh MetMalaysia.
Ahmad Zahid berkata, kerajaan akan memastikan semua pasukan keselamatan lebih bersedia kali ini bagi mengelak keadaan lebih teruk.
Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku di Pantai Timur minggu depan bakal memburukkan situasi banjir apabila air sungai tidak dapat mengalir ke laut.
“Walaupun pada peringkat awal ini di Pahang dan Johor belum terjejas, tetapi kita jangkakan di awal Disember, Pahang dan Johor akan terjejas yang mana akan menerima luruan hujan.
“Air sungai juga akan melimpah daripada Tengganu ke Pahang dan sungai daripada Pahang juga akan melimpah ke Johor,” katanya.
BACA JUGA Warganet puji usaha Hannah Yeoh angkat sukan sepak takraw