Kopiah tercampak selepas wanita ‘naik tangan’: ‘Bukan suka hati mahu sondol, selesailah cara elok’

Seorang wanita dihujani kecaman orang ramai selepas dilihat ‘naik tangan’ terhadap pemandu teksi warga emas sehinggakan kopiahnya tercampak di atas jalan raya.

Tindakan biadab yang sempat dirakam papan pemuka yang dikongsikan di media sosial itu tular sehingga menarik perhatian orang ramai.

Menerusi rakaman dashcam itu, warga emas itu dilihat mengutip semula kopiah yang jatuh sambil mendengar kata-kata kesat dan makian dihamburkan wanita berkenaan.

Difahamkan, berlaku insiden pergaduhan mulut disebabkan kereta jenis Proton Saga milik wanita terbabit dilanggar dari arah belakang oleh pemandu teksi di lorong kanan.

Walaupun begitu, rata-rata menyifatkan perbuatan melampau tersebut menggambarkan rendahnya moral pelaku yang lebih rendah daripada tapak kasut.

Perbuatan mencampakkan kopiah yang letaknya elok di atas kepala adalah tindakan biadab serta tidak boleh diterima sama sekali meskipun wanita terbabit adalah mangsa keadaan.

Bagi pengguna X @izsmin, tiada siapa mahu mengundang berlakunya kemalangan dan mengingatkan bahawa nahas jalan raya bukan perkara yang dapat dijangka.

“Bincang elok-elok. Call polis, panggil abang towing, buat report polis dan claim insurans, benda senang je, tak perlu susahkan diri sendiri,” nasihatnya lagi.

Selain itu, alat ganti untuk kereta yang dilanggar itu juga dianggap mudah diperoleh di mana-mana premis membaiki kenderaan.

“Setakat Proton 1.3 tu mana-mana kedai pun ada alat ganti nak baiki. Lainlah kalau pakai Mercedes atau BMW, kata Wan Hamdibie Awang.

Dalam masa sama, sikap hormat kepada golongan yang lebih berusia penting diberi perhatian Ketika berada dalam situasi genting ketimbang menurutkan rasa amarah.

“Setidak-tidaknya, tunjukkanlah sedikit rasa hormat kepada orang tua. Walaupun mereka salah, kadangkala mereka tidak berniat begitu. Apa-apa yang ingin dilakukan, fikir guna otak, bukan guna kepala lutut,” kata netizen lagi.

BACA JUGA Kongsi kejayaan habiskan larian sejauh 28 km, tapi ini yang lelaki obes dapat