Malaysia komited main peranan bantu ASEAN selesai konflik di Myanmar

PARLIMEN | Malaysia menyatakan komitmen untuk terus memainkan peranan penting sebagai anggota ASEAN dalam usaha membantu menyelesaikan konflik di Myanmar.

Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul berkata usaha tersebut termasuklah menyeru semua pihak untuk kembali ke meja rundingan demi mencapai satu penyelesaian yang damai dan berkekalan.

“Malaysia berpandangan bahawa situasi di Myanmar adalah permasalahan serantau yang menggugat keselamatan, keamanan, kemajuan dan kemakmuaran ASEAN.

“Tambahan pula isu Myanmar tidak seharusnya menjadi penghalang dalam megukuhkan pembangunan ekonomi ASEAN.

“Justeru itu, Malaysia terus kekal mengambil pendekatan untuk bersama-sama dengan negara ASEAN khususnya Indonesia yang kini Pengerusi ASEAN dalam menangani isu Myanmar,” katanya dalam sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Zambry semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke 41 di Kemboja pada November tahun lalu, para pemimpin ASEAN telah memperakukan ‘Asean Leaders Review and Decision On The Implementation Of The Five Point Consensus’.

Selain itu, pada 4 Februari lalu, Mesyuarat Pemukiman Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN di Jakarta telah bersetuju dengan pelan pelaksanaan lima konsensus utama yang tertumpu kepada usaha-usaha ke arah mewujudkan persekitaran kondusif bagi membuka laluan kepada dialog terangkum yang melibatkan semua pemegang taruh di Myanmar.

“Malaysia akan terus memainkan peranan penting di peringkat pelbagai hala terutama di platform antarabangsa seperti PBB dan OIC dalam menyuarakan pandangan negara agar pihak terlibat dapat mencari jalan konstruktif ke arah penyelesaian yang tuntas bagi menangani krisis di Myanmar.

“Bagaimanapun, harus diingatkan bahawa usaha-usaha penyelesaian konflik di Myanmar ini bukanlah mudah. Hal ini kerana ia melibatkan banyak pihak berkepentingan dan bakal mengambil masa yang panjang,” katanya.

BACA JUGA: Anwar: Asean perlu pecat Myanmar buat sementara waktu

Â