‘Ada buktikah saya campur tangan untuk dakwa sesiapa?’ – Anwar kepada PN
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanya adakah Perikatan Nasional (PN) mempunyai bukti untuk menuduhnya campur tangan dalam urusan perundangan dan melakukan pendakwaan terpilih terhadap mana-mana individu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan mengingatkan pembangkang agar tidak menggunakan ayat Quran untuk menuduhnya tanpa bukti.
Beliau bahkan menegaskan tidak pernah menggunakan jawatannya sebagai Perdana Menteri untuk mencampuri urusan perundangan terhadap mana-mana individu yang didakwa di mahkamah.
“Saya ingin menjelaskan, kita bercakap soal keadilan, kita tolak kezaliman dan fitnah. Jangan hukum orang tanpa bukti. Maka kalau ada tindakan, jangan hukum saya.
“Jangan guna ayat al-Quran untuk hukum saya, (tuduh saya) zalim dan campur tangan. Saya nak beritahu pimpinan di sana, kena ingat sebagai seorang muslim yang bertanggungjawab, adakah saudara yakin ada bukti bahawa Anwar campur tangan untuk mendakwa sesiapa. Kalau tidak, zalim jawabnya.
“Guna nama agama dan fitnah orang, sebut nama saya, saya tidak campur (tangan). Boleh tanya SPRM dan Peguam Negara.
“Malah (saya beri) arahan kepada mereka (SPRM), apapun tindakan berdasarkan fakta dan bukti kuat, (maka) saya sokong. Tapi jangan aniaya, jangan ada alasan longgar yang boleh dicabar dan dipertikai,” katanya ketika sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas-Pn) mengenai tindakan kerajaan yang dilihat memfokuskan kepada pembangkang semata-mata dalam tindakan pendakwaan kes tatakelola tidak telus sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Penegasan Anwar itu sebagai menjawab beberapa dakwaan wujud campur tangan Perdana Menteri dalam kes membabitkan pemimpin Bersatu.
Pada masa sama Anwar berkata, pembangkang boleh membangkitkan isu kepada Ketua Hakim dan Peguam Negara sama ada beliau campur tangan atau tidak bagi mengetepikan kes pendakwaan mana-mana pihak termasuk membabitkan Ahmad Zahid.
“Soal nak kecam boleh kecam, tapi ingat jangan kita guna kedudukan untuk menganiayai. Kalau bukti ada nak aniaya macam mana? Saya tidak peduli. Ini termasuk kes Timbalan Perdana Menteri.
“Boleh tanya Ketua Hakim dan Peguam Negara, bila masa saya campur tangan suruh kurang atau tarik balik pertuduhan, soal tohmahan, kita jangan mudah menghukum, saya bukan kelas ‘politician’ yang murah sebegitu rupa,” katanya lagi.
Baca juga: Dakwaan campur tangan politik: AMK buat laporan polis terhadap Mahiaddin
Baca juga: Mahiaddin turut jejak Najib diheret ke mahkamah pagi ini
Â