Akui memfitnah, Pesuruhjaya Pas Perak mohon maaf kepada PM Anwar
Mengaku bahawa ungkapan yang digunakannya fitnah, Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria hari ini memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebelum ini, ADUN Gunung Semanggol berkenaan mendakwa Anwar membawa agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini dan menyokong agenda komunis.
Menerusi kenyataan yang ditunjukkan kepada Harapan Daily, Razman berkata, ucapannya semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November tahun lalu telah “menyinggung perasaan dan memfitnah YAB (Yang Amat Berhormat Perdana Menteri).”
“Saya ingin menzahirkan bahawa ungkapan saya telah mencetuskan keburukan moral dan menjejaskan reputasi baik YAB serta menyebabkan rasa malu, kerosakan dan kesusahan yang teruk dan tidak terukur,” dipetik dari kenyataan itu.
Penaung Maahad Thafiz Al-Quran Lid Da’wah Li Imamah (MTQDI) di Lenggong tersebut juga berkata, menarik balik semua fitnah dan tuduhan yang dilemparkan itu.
Dia juga kesal dan berjanji tidak akan mengulangi ungkapan tersebut dalam apa jua bentuk, cara atau sebagainya pada masa akan datang.
Dalam masa sama, Razman mendoakan agar Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dirahmati Allah dan diberikan kekuatan serta umur yang panjang untuk terus memimpin negara sebagai Perdana Menteri Malaysia demi kesejahteraan rakyat dan negara.
Sementara itu, Razman hari ini dilaporkan melakukan permohonan maaf di Mahkamah Tinggi Taiping sebagai sebahagian daripada persetujuan untuk menyelesaikan kes saman fitnah yang dikemukakan oleh Anwar terhadapnya.
Pada 5 Disember tahun lalu, Anwar yang memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi melalui firma guaman Tetuan SN Nair & Partners di Mahkamah Tinggi Taiping dengan menuntut Razman membayar ganti rugi am, teruk dan teladan serta injunksi menghalangnya daripada mengeluarkan kenyataan fitnah serupa.
BACA JUGA Razman Zakaria penakut