Aminuddin sumbang RM125,000 kepada masjid dan surau dalam Parlimen Port Dickson

Sebanyak RM125,000 disumbangkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun kepada masjid dan surau yang terdapat dalam Parlimen Port Dickson bagi membolehkan institusi agama Islam tersebut menjalankan aktiviti sempena bulan Ramadan yang akan tiba dalam beberapa hari.

“Sumbangan daripada Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Port Dickson itu telah diberikan ketika Program Sambutan Ambang Ramadan 2023 yang bertempat di Masjid Jamek Dato’ Abdullah Sijang.

“Besarlah harapan saya agar Ramadan kali ini menjadi Ramadan terbaik buat kita semua serta semoga kita dapat memperkukuhkan ketaqwaan terhadap Allah,” tulis beliau dalam satu hantaran di Facebook rasminya malam tadi.

Aminuddin yang merupakan Adun Sikamat selama tiga penggal akan mengepalai kempen Pakatan Harapan dan Barisan Nasional di Negeri Sembilan. Di peringkat negeri beliau meningkatkan majoriti dari 510 dalam tahun 2013 ke 3,413 semasa PRU ke-14 dalam tahun 2018.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Aminuddin berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Port Dickson yang disandang Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Anak jati Port Dickson yang juga Pengerusi PH negeri itu, memperoleh 42,013 undi dengan majoriti 23,601 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk P Kalamananthan dengan 18,412 undi dan calon Perikatan Nasional (PN), Rafiei Mustapha dengan 18,235 undi.

Untuk rekod, kerajaan negeri pimpinan Aminuddin telah diberikan mandat bermula 9 Mei 2018, dengan pelbagai siri kejayaan dilakar.

Negeri Sembilan bakal pilihan raya negeri tahun ini bersama lima negeri lain iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Selain Port Dickson yang terkenal dengan lokasi tumpuan pelancong, daerah Tampin turut mempunyai tarikan tersendiri apabila dilapor mendapat skor tertinggi, iaitu 99.5 peratus dalam Indeks Kebahagiaan 2021 bagi bandar di Malaysia. Indeks Kebahagiaan mengukur tahap kesejahteraan  penduduk.

Skor yang diperoleh daripada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) itu sekaligus menjadikan Tampin sebagai Bandar Paling Bahagia.

BACA JUGA: MBS lancar Pelan Tindakan Bandar Pintar dan Rendah Karbon Seremban 2027