MBS lancar Pelan Tindakan Bandar Pintar dan Rendah Karbon Seremban 2027

Majlis Bandaraya Seremban (MBS) melancarkan Pelan Tindakan Bandar Pintar dan Bandar Rendah Karbon Seremban 2027 bertujuan merealisasikan matlamat bandar pintar dan rendah karbon.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata pelan tersebut merupakan dokumen perancangan yang mampan dan menyediakan kerangka serta konsep bagi mencapai strategi dan inisiatif.

“Pelan tindakan itu juga mensasarkan pendekatan tujuh komponen bandar pintar dan empat komponen bandar rendah karbon.

“11 komponen itu bakal menyumbang kepada pengurangan karbon bagi menyokong Agenda Peringkat Global dan Nasional,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasminya, hari ini.

Dalam majlis sama yang diadakan di Klana Resort, Seremban itu, turut dilancarkan Pelan Tindakan Khas Pembaharuan Semula Pekan Nilai, Negeri Sembilan.

Aminuddin menyifatkan pelan dokumen itu penting agar dapat membantu Majlis Bandaraya Seremban khususnya dan kerajaan negeri, agensi-agensi teknikal, pemegang taruh serta pihak berkepentingan untuk membangunkan pekan Nilai.

Katanya pembangunan pekan Nilai berorientasikan Bandar Nod Pengangkutan dan Perhubungan yang bernilai ekonomik melalui rantaian sektor ekonomi yang menggalakkan inkubasi kreatif dan baharu, pasaran niche dan pelancongan alternatif.

Dengan pelancaran kedua-dua pelan tersebut, Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri berharap, ianya mampu memberi perspektif yang baik terhadap MBS dan menyuntik sinergi pelaburan serta pengurusan yang komprehensif, selain tadbir urus bandar yang mampan.

Menerusi pelan berkenaan, beliau optimis ianya berpotensi menarik lebih ramai pemegang taruh daripada dalam dan luar negara untuk melabur ke kawasan daerah Seremban.

Terdahulu, Tampin dilapor mendapat skor tertinggi iaitu 99.5 peratus dalam Indeks Kebahagiaan 2021 bagi bandar di Malaysia oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), sekaligus dinobat Bandar Paling Bahagia.

Untuk rekod, kerajaan negeri pimpinan Aminuddin telah diberikan mandat bermula 9 Mei 2018, dengan pelbagai siri kejayaan dilakar antara inisiatif Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (TUNS dan TUNS PLUS).

Menurut Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKKNNS) Rusmimah Mat Derus, sejak inisiatif itu diperkenalkan pada 2019, seramai 82.9 peratus peniaga kecil berjaya meningkatkan pendapatan mereka.

Pendapatan peniaga kecil di negeri berkenaan dilaporkan berjaya ditingkatkan menerusi inisiatif TUNS dan TUNS PLUS yang diperkenalkan kerajaan negeri.

TUNS merupakan bantuan pembiayaan secara geran berjumlah RM3,000 yang disasarkan kepada penjaja dan peniaga kecil di negeri tersebut.

Inisiatif itu telah memberi manfaat kepada 5,149 usahawan mikro dari 2019 sehingga 2022, dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM15 juta dalam tempoh empat tahun.

BACA JUGA: Negeri Sembilan peruntuk RM13 juta perkasa pendidikan