Dr Mahathir diktator yang pecat ketua hakim negara

Dr Mahathir diktator yang pecat ketua hakim negara

Kartunis terkenal Zulkiflee Anwar Haque yang lebih terkenal sebagai Zunar menempelak kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa Anwar sebagai pemimpin diktator pada 19 Mac ekoran dari perhimpunan Proklamasi Melayu yang dibatalkan.

“Pada tahun 1988, Mahathir adalah Perdana Menteri pertama yang memecat Ketua Hakim Negara iaitu allahyarham Tun Salleh Abbas bersama lima hakim yang lain,” kata Zunar merujuk kepada peristiwa yang mencetuskan krisis perlembagaan pada tahun 1988.

“Kalau seorang Perdana Menteri memecat ketua hakim, itu sangat diktator,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily, kelmarin.

Malah, katanya, tindakan yang diambil oleh Dr Mahathir ketika menjawat pemimpin nombor satu negara itu belum pernah dilakukan oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini.

“Tidak ada perdana menteri yang pernah memecat ketua hakim. Tidak ada, termasuk Tunku Abdul Rahman (PM1), Tun Razak Abdul (PM2) dan Datuk Onn (PM3) tidak pernah melakukan itu.

“Dia membuat undang-undang meminda segala-galanya untuk mengekalkan diri, kalau undang-undang itu tidak memihak padanya, hakim pun dipecat untuk memastikan dia kekal berkuasa.” Antara undang-undang yang dipinda waktu itu termasuklah Akta Pertubuhan 1966.

“Kalau ada yang mempertikaikan, mereka ditangkap dibawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960) terus dan dipenjara tanpa bicara selama dua tahun,” jelasnya lagi. ISA telah dimansuhkan semasa pentadbiran Najib Razak yang menggantikannya dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas).

Zunar turut mendakwa bahawa Mahathir mula menggunakan kaedah diktator sewaktu menjadi menteri di bawah perdana menteri terdahulu.

“Sewaktu dia menjadi Menteri Pelajaran lagi dia sudah mula menjadi diktator dengan memperkenalkan AUKU Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang membisukan kegiatan-kegiatan mahasiswa sampai sekarang.

“Ia tidak termasuk dengan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan apabila akhbar The Star dan Watan diharamkan oleh Mahathir tanpa sebab,” katanya lagi.

Ini merujuk kepada kekangan ke atas media seusai Operasi Lalang.

Zunar yang terkenal dengan kartun politikal kritikal juga adalah penerbit eksklusif filem Anwar: The Untold Story.

BACA JUGA: 10 dalil Anwar lebih zalim dari Mahathir

COMMENTS

Wordpress (0)