‘Elon Musk of Thailand’ kunjungi PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dikunjungi delegasi syarikat teknologi dari Thailand.

Delegasi itu diketuai oleh Somphote Ahunai yang juga dikenali sebagai ‘Elon Musk of Thailand’ kerana syarikat beliau yang turut mempunyai cawangan di Malaysia merupakan peneraju tenaga boleh diperbaharui serta teknologi hijau di Thailand.

“Pagi tadi saya menerima delegasi dari Thailand yang diketuai oleh Somphote Ahunai yang mewakili Energy Absolute Malaysia Sdn Bhd.

“Syarikat EA yang mempunyai kekuatan modal pasaran sebanyak THB 380 bilion bersamaan RM45 bilion dan ingin meneroka pasaran Malaysia berlandaskan prinsip-prinsip seperti mendukung, melabur dan mengangkat projek pemicu (pilot project) yang akan berkolaborasi dengan Computer Forms Malaysia Berhad (CFM) untuk membangunkan industri teknologi hijau di Malaysia,” kata beliau dalam catatan di Facebook.

Menurut Anwar, pemindahan teknologi kereta elektrik (EV) ke Malaysia, membina kilang pembuatan dan bekalan EV, khususnya dalam sektor pengangkutan seperti bas elektrik, bas sekolah elektrik, bot elektrik, motosikal elektrik, bateri EV, kereta api elektrik, kereta mobil elektrik dan lain-lain akan menjana pelaburan sekitar RM5 bilion.

Beliau mengalu alukan usahasama antara Malaysia dan Thailand tersebut atas semangat ASEAN.

“Sebagai anggota Komuniti Ekonomi ASEAN, dengan budaya dan warisan yang hampir sama, kerjasama antara Malaysia dan Thailand terus kukuh dengan semangat kejiranan yang tinggi dengan kerjasama di pelbagai lapangan yang relevan,” katanya lagi.

BACA JUGA KPWKM umum kaedah pembayaran JKM bulan ini

Â