KPWKM umum kaedah pembayaran JKM bulan ini

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang menunggu hasil laporan hasil kajian projek rintis pembayaran bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) secara tanpa tunai atau JKMPay.

Kelmarin, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi menggesa KPWKM untuk menghentikan pembayaran bantuan kebajikan tanpa tunai sebanyak RM450 memandangkan ia telah menyebabkan ramai Orang Kurang Upaya (OKU) mengalami kesulitan dalam pelbagai perkara.

Menurut Datuk Seri Nancy Shukri, kajian melalui projek rintis sudah sekian lama dijalankan oleh kementerian dan kini hanya menunggu hasil laporan sebelum keputusan muktamad dibuat.

“Saya telah berbincang dengan pihak pengurusan dan saya dimaklumkan kita telah menjalankan kajian dan tengah menunggu laporan.

“Kita hendak melihat dari segi manfaat yang mana lebih baik sama ada ‘cash’ (tunai) atau tanpa tunai (JKMPay),” katanya selepas ditemui pada Majlis Amanat Tahun Baru Menteri KPWKM di Dewan Perdana Nur, KPWKM Putrajaya.

Melalui JKMPay, penerima bantuan akan menerima 50 peratus daripada jumlah kadar bantuan yang diluluskan dan dikreditkan ke dalam akaun Bank Islam manakala baki 50 peratus lagi akan dimasukkan ke dalam kad JKMPay.

Namun, pembelian yang tidak tersenarai dalam maklumat barang keperluan, tidak dibenarkan untuk menggunakan kad berkenaan.

Jelasnya lagi, kementerian akan meneliti sebaiknya kaedah pembayaran yang diperlukan oleh penerima kerana peratus hasil kajian adalah lebih kurang sama.

Katanya, pihak pengurusan tidak mempunyai masalah sekiranya untuk menukar semula cara pembayaran tetapi ianya akan mengambil sedikit masa untuk dilaksanakan kembali.

“Mereka (Pengurusan) akan bentangkan laporan dan kita akan buat keputusan dalam bulan Januari ini,” ujarnya.

Baca juga Jangan main politik dalam isu keterjaminan makanan