Inisiatif program bantuan peniaga kecil Negeri Sembilan paling popular

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan yakin prestasi semasa kerajaan negeri mampu menambat hati rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Ketua Penerangannya, Umry Abdul Khois berkata, iniasitif yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri benar-benar memberi kesan kepada warganya.

Katanya, melalui bantuan program peniaga dan penjaja kecil yang diperkenalkan oleh Pakatan Harapan (PH) nyata memberi manfaat buat rakyat negeri ini.

“Sejak PH mengemudi kerajaan negeri, iniasitif TUNS (Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan) adalah yang paling popular untuk rakyat Negeri Sembilan.

“Sebab bantuan ini dapat membantu penduduk yang ingin berniaga atau kembangkan perniagaan, jadi mereka boleh untuk dapat bantuan ini,” ujarnya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Untuk rekod, TUNS merupakan bantuan pembiayaan secara geran berjumlah RM3,000 bagi mewujudkan usahawan tempatan.

Selain TUNS, kerajaan negeri juga melaksanakan TUNS Plus dan TUNS Extra untuk memberi pinjaman tanpa faedah dari RM15,000 hingga RM30,000 kepada peniaga mikro yang ingin mengembangkan perniagaan mereka.

Dalam pada itu, Umry berkata, AMK bersedia menawarkan calon ADUN daripada sayap itu bagi memberi pendedahan dan pengalaman dalam bidang kepimpinan.

“Tidak dapat dinafikan semua AMK Cabang bergerak dengan tenaga anak muda dan aktif membantu masyarakat.

“Saya kira anak muda perlu diketengahkan (calon PRN) dan diberi peluang untuk mereka menjadi lebih berpengalaman dalam memimpin,” ujarnya.

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun memberi bayangan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 1 Jun depan, sekali gus memberi laluan kepada penganjuran pilihan raya negeri (PRN).

BACA JUGA PRN Negeri Sembilan: Jentera parti diperkukuh selaras naratif Kerajaan Perpaduan