Kerajaan cadang struktur semula gaji guru Tabika KEMAS

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bercadang untuk melakukan penstrukturan semula skim tangga gaji berasaskan kelulusan 10,174 tenaga pengajar Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkara itu akan dibincangkan secara bersama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MOF) bagi memperincikan cadangan berkenaan.

“Kami berikhtiar, berbincang dan memperincikan bersama JPA dan MOF agar bukan hanya skim malah meningkatkan produktiviti serta jumlah pelajar yang ada.

Ahmad Zahid Hamidi

“Sekarang skim perkhidmatan yang ada ialah jawatan kontrak dan terdapat antara pendidik masyarakat (tenaga pengajar) di Tabika mempunyai sijil, diploma, ijazah dan ada juga sarjana,” katanya menerusi sidang media selepas sesi libat urus Program Tabika Pra Tahfiz KEMAS di kementeriannya, hari ini.

Menurut Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, terdapat ramai tenaga pengajar Tabika KEMAS yang mempunyai ijazah dan sarjana tetapi tidak dibayar selaras dengan kelulusan dan pengalaman mereka.

“Oleh kerana skim ini tidak berasaskan kelulusan, kami tertakluk kepada skim itu, maka tidak adil yang berdasarkan kelulusan dan pengalaman tetapi tidak diberikan pengiktirafan oleh kerajaan,” katanya.

Pada 25 Februari lalu, seramai 9,439 kakitangan Pembantu Pendidikan Masyarakat Sukarela (PPMS) KEMAS akan menerima kenaikan elaun kepada RM800 sebulan.

Zahid berkata, kakitangan PPMS tersebut menerima kenaikan elaun tersebut setelah kerajaan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta pada pembentangan Belanjawan 2023.

BACA JUGA Subsidi yuran taska RM180 sebulan untuk penjawat awam