Kerjasama PH-BN jamin kemenangan PRN Negeri Sembilan

EKSKLUSIF Jalinan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) melibatkan semua peringkat mesti dilakukan bagi menjamin kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) negeri, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman berkata, usaha tersebut bertujuan untuk memberi kefahaman mengenai kepentingan kerjasama melibatkan blok parti dalam Kerajaan Perpaduan pada masa ini.

”Kerjasama daripada peringkat pimpinan negeri, kawasan sehinggalah ke akar umbi termasuk pengundi. Kita buat program bersama, kenal lebih rapat.

”Pada masa sama, memberi kefahaman tentang kerjasama antara BN dan PH.

“Saya merasakan cara seperti itu lebih baik. InsyaAllah, kita boleh menang, tetapi kalau ianya masih belum dilakukan, kemenangan di Negeri Sembilan masih belum dapat dijamin,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Beliau berpendapat di peringkat akar umbi belum melihat PH sebagai parti yang membela orang Melayu tidak seperti BN dan Perikatan Nasional (PN).

Beliau mengulas demikian apabila ditanya mengenai kerjasama PH-BN di Putrajaya ketika ini, sama ada membantu PH untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) sedia ada terutamanya ‘kerusi Melayu’ seperti di Lenggeng dan Klawang.

Mengulas lanjut, MK Ibrahim berkata, pihaknya setakat ini masih belum mendapat ‘bayangan’ mengenai corak pengundian di Negeri Sembilan.

”Jika kita bersama dengan BN, tidak semestinya pengundi BN akan mengundi PH. Namun, kalau gabungan PH-BN, BN yang bertanding ia mungkin memberi natijah yang baik kepada BN itu sendiri.

”Ini kerana, PH akan menyokong BN dan pengundi PH juga akan mengikut trend itu, tetapi keadaan tidak sama kalau di tempat PH bertanding.

”Kita tidak dapat menjamin pengundi BN akan mengundi PH kerana PH itu tidak dianggap sebagai parti Melayu, manakala BN dianggap parti Melayu,” tambahnya lagi.

BACA JUGA PRN Negeri Sembilan: Program ramah mesra rakyat pikat pengundi atas pagar