Hala tuju MySejahtera dimuktamad selepas dibentang pada Jemaah Menteri

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan syarikat MySJ Sdn Bhd bersetuju bahawa kontrak bagi perolehan aplikasi MySejahtera secara rundingan terus adalah untuk tempoh dua tahun sahaja iaitu dari 1 April 2021 hingga 31 Mac 2023.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang berkata, KKM telah mengadakan rundingan dengan MySejahtera berkenaan hala tuju aplikasi itu selepas tamat kontrak, dan hasil rundingan akan dibentangkan dalam masa terdekat pada mesyuarat Jemaah Menteri.

“Kementerian telah mengadakan rundingan bersama MySJ Sdn Bhd di mana hasil rundingan akan dibentangkan kepada jemaah menteri dalam masa terdekat bersama dengan hala tuju aplikasi Mysejahtera.

“Berkenaan tentang hala tuju MySejahtera, kerajaan menyasarkan akan mengangkat aplikasi ini sebagai ‘Digital Public Health Super App’ di mana kita ingin jadikan aplikasi ini sebagai satu data raya di hujung jari, di mana mempunyai maklumat kesihatan 32 juta rakyat Malaysia.

“…kita akan lihat di manakah hala tuju kesihatan dari segi mendapatkan bajet dan menyediakan perkhidmatan terbaik untuk rakyat,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (Bandar Kuching-PH) yang meminta KKM menyatakan perincian hasil rundingan kementerian dengan Syarikat MySJ Sdn. Bhd. untuk membeli MySejahtera dan pelan kementerian untuk mengoptimumkan penggunaan MySejahtera.

Pada masa sama, Lukanisman berkata, sebarang tambahan kos bagi pengurusan aplikasi berkenaan selepas kontrak berakhir juga akan ditentukan.

“MySejahtera akan melibatkan kos dan kos ini akan kita tentukan selepas kontrak ini tamat pada 31 Mac nanti. Harap bersabar,” katanya lagi.

BACA JUGA Fahmi arah CSM siasat kebocoran maklumat 3 juta pengguna MySejahtera

Â