Konvensyen Pilihan Raya Negeri bermula 14 Januari

Bermula 14 Januari ini, PKR dijadual menganjurkan konvensyen khas di lima lokasi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Selangor, Kedah dan Pulau Pinang akan membuka tirai siri jelajah Konvensyen Pilihan Raya Negeri 2023 itu pada 14 Januari ini.

Seterusnya, pada 15 Januari konvensyen bakal berlangsung di Negeri Sembilan bertempat di Palm Mall di Seremban bermula 8 hingga 10 malam.

Sementara itu, Konvensyen Pilihan Raya Negeri bakal menyusul di Pantai Timur masing-masing di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu dan Jabatan Kebudayaan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Kelantan, Kota Bharu.

Lapor Sumberkini memetik Setiausaha Kerja Jabatan Pilihan Raya Pusat PKR, Ahmad Rafar, konvensyen tersebut bagi menaikkan semangat dan motivasi anggota parti dalam menghadapi PRN.

“Dalam program tersebut, kita akan beri peluang kepada semua pimpinan negeri seperti Pengarah Pilihan Raya Negeri, Ketua Wanita, Ketua AMK (Angkatan Muda Keadilan), Pengerusi Pimpinan Negeri dan akhir sekali akan ada ucapan Pengarah Pilihan Raya Pusat Rafizi Ramli,” kata Ahmad.

Tahun ini bakal menyaksikan berlangsungnya PRN di enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) serta Kedah, Kelantan dan Terengganu yang dikuasai Pas.

Baca juga Politik Kedah menjelang PRN 2023