‘Kuasa adalah amanah bukan keistimewaan’

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan berkenaan kuasa sebagai amanah sempena ulang tahun parti itu yang ke-24.

Beliau yang juga Perdana Menteri berkata, PKR berpasak atas semangat islah yang kuat.

“Selalu saya ingatkan kepada semua bahawa kuasa adalah amanah dan bukan keistimewaan.

“Justeru, hak dan kebajikan rakyat mesti yang terutama dalam membentuk kebijakan,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.

Menurut Ahli Parlimen Tambun itu tugas dan tanggungjawab yang digalas hari ini adalah amanah yang mesti ahli parti tersebut pikul sebaiknya dengan matlamat membawa perubahan yang bermakna.

PKR dan Anwar sinonim dengan gelombang Reformasi yang melanda negara selepas tokoh itu dipecat aripada Umno pada 2 September 1998.

Pada 4 April 1999, ia secara rasmi ditubuhkan menggunakan nama Parti Keadilan Nasional (Keadilan).

Ketika masih berusia tujuh bulan pada 1999, Keadilan menyertai pilihan raya sulungnya.

Keadilan kemudiannya bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) membentuk PKR pada 3 Ogos 2003.

Isteri Anwar iaitu Datuk Seri Dr Dr Wan Azizah menjadi presiden pertama PKR.

BACA JUGA Bukannya kata-kata tapi pelaksanaan yang dinilai – Anwar