Langkah Sheraton dalang prestasi atlet semakin terganggu – Hannah

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tampil mempertahankan kenyataannya bahawa prestasi kontinjen negara di pentas Sukan SEA Kemboja 2023 terganggu disebabkan ketidakstabilan politik terutama selepas berlakunya “Langkah Sheraton”.

Langkah Sheraton berlaku pada Februari 2020 yang didalangi sebahagian besar wakil rakyat Bersatu termasuk Tan Sri Mahiaddin Yassin serta sekumpulan pemimpin PKR yang meninggalkan gabungan Pakatan Harapan (PH) untuk bekerjasama dengan Umno dan Pas.

Hannah berkata, fakta itu tidak boleh diketepikan kerana dalam tempoh empat tahun lalu, segala perancangan, peruntukan mahu pun persiapan terjejas disebabkan struktur politik negara yang sering berubah.

“Dalam empat tahun yang lepas kita telah bertukar tiga Perdana Menteri dan tiga Menteri KBS (Kementerian Belia dan Sukan).

“Sejak Mei 2013, menteri KBS pada masa itu Khairy Jamaluddin mempunyai 61 bulan untuk membuat persiapan sukan-sukan.

“Julai 2018, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hanya mempunyai 20 bulan untuk membuat persiapan sebelum Langkah Sheraton berlaku.

Hannah bersama atlet Sukan SEA Kemboja 2023 yang kali pertama melawat Parlimen.

“Kemudian Reezal Meerican 18 bulan. Datuk Seri Faizal Azumu 16 bulan. Dalam empat tahun, tiga menteri bertukar-tukar.

“Setiap kali kita bertukar, ada penukaran “board members”, peruntukan dan juga fokus,” katanya dalam sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat pagi ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang bertanya bagaimana ketidakstabilan politik boleh memberi kesan pada prestasi atlet sedangkan negara lain yang lebih tidak stabil boleh melakukan pencapaian terbaik.

Hannah berkata, dalam butiran Belanjawan 2022 yang dibentangkan pada Oktober 2021 tidak pernah dinyatakan peruntukan yang diberikan untuk program podium bagi tahun 2022.

Ini jelasnya, telah menyebabkan pihak Majlis Sukan Negara (MSN) terpaksa menyusun semula program persediaan atlet ke arah temasya sukan utama bagi tahun 2022.

Kesannya seramai 220 atlet tidak dapat meneruskan latihan memandangkan tiada peruntukan khusus untuk pelaksanaan program latihan senior di bawah program podium.

“Setiap kali kita ada perubahan seperti ini, apabila ada elaun tertangguh dan gaji jurulatih tertangguh kerana bajet ini tak ada, ini memberikan kesan kepada latihan mereka kerana ada yang perlu ke luar negara.

“Saya ada bincang dengan atlet dan persatuan, betul mereka menyatakan dalam empat tahun ini sementara kita sibuk di sini berpolitik, negara-negara jiran kita sudah maju ke hadapan,” ujarnya.

Ahli Parlimen Segambut itu juga menambah, beliau boleh sahaja meletakkan beban kesalahan sepenuhnya kepada Persatuan Sukan Kebangsaan, namun beliau percaya itu adalah tindakan tidak bertanggungjawab kerana keadaan politik di Malaysia juga telah memainkan peranan.

“Salah satu faktor, saya bukan kata semuanya adalah kerana ketidakstabilan politik.

“Tetapi kita mesti memperakui dalam tempoh empat tahun yang lepas selepas Langkah Sheraton memang ada banyak usaha yang kerajaan lakukan masa itu untuk bantu ekonomi dan pendidikan semuanya terganggu kerana ketidakstabilan politik. Itu adalah fakta,” tegas Hannah lagi.

BACA JUGA Hannah Yeoh kecam keras bekas pemain badminton buat ucapan rasis