Lebih 3 juta suri rumah bakal terima manfaat keselamatan sosial

Lebih 3 juta suri rumah bakal terima manfaat keselamatan sosial

Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) yang dilancarkan hari ini bakal memberi manfaat kepada lebih 3 juta suri rumah di negara ini.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, skim seumpama insurans pekerja tersebut akan menyediakan Perlindungan Bencana Domestik dan Perlindungan Keilatan kepada suri rumah yang membuat pencaruman.

Beliau berkata, dengan hanya RM120 jumlah caruman untuk tempoh setahun dan dibayar secara ‘in advance’, suri rumah akan dilindungi SKSSR, yang menyediakan pelbagai faedah.

Katanya, faedah itu adalah seperti Faedah Perubatan dan Pemulihan, Faedah Hilang Upaya Kekal, Faedah Pengurusan Mayat, Elaun Keuzuran dan Pencen Penakat.

”Pandemik Covid-19 yang melanda negara tiga tahun lalu memperlihatkan betapa pentingnya sektor ‘care economy’, dalam konteks penjagaan ahli masyarakat dan komuniti apabila negara berdepan krisis kesihatan dan kontigensi hal domestik.

“Golongan suri rumah dan pekerja domestik meliputi sebahagian besar individu yang terbabit dalam sektor ‘care economy’ tidak berbayar, yang berdepan risiko tiada perlindungan keselamatan sosial atau bantuan kerajaan kerana berada di luar sektor formal pekerjaan.

“Sehubungan itu, Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memperkenalkan SKSSR di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 bagi menyediakan perlindungan bencana domestik dan perlindungan keilatan kepada lebih tiga juta suri rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran SKSSR dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Majlis dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu turut dihadiri Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud dan Pengerusi PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal.

Semua suri rumah yang berusia bawah 55 tahun, yang menguruskan rumah tangga sepenuh masa atau separuh masa, yang berkahwin atau bujang, layak menyertai skim berkenaan.

Sejak dilaksanakan pada 1 Disember sehingga 31 Januari lalu, seramai 141,144 suri rumah telah mencarum di bawah SKSSR.

BACA JUGA Inisiatif program bantuan peniaga kecil Negeri Sembilan paling popular

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )