Lepas jawatan atau tidak, Mahiaddin serah pada majlis tertinggi
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Mahiaddin Md Yasin menasihatkan agar para penyokong terus bertenang dan memberikan beliau peluang untuk membela diri melalui proses undang-undang.
Ketika ditanya media berkenaan kedudukannya sebagai Presiden Bersatu, Mahiaddin menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada majlis tertinggi parti.
Presiden Bersatu yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu keluar dari bangunan mahkamah dan menemui media sekitar jam 11.30 pagi tadi.
Ketika membacakan kenyataan di hadapan media, Mahiaddin menyalahkan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dianggap sengaja mencipta kesalahan untuk mengesahkan dakwaan bahawa wujud kluster mahkamah dalam kalangan pemimpin PN.
“Dia ingin menyamakan saya dengan dirinya. Tentu sekali berbeza. Dia dituduh menggunakan wang yayasan untuk kegunaan diri sendiri.
“Sedangkan saya, tidak ada satu sen pun wang yang masuk ke poket saya sendiri,” katanya di perkarangan Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
Sebelum ini, Datuk Wan Saiful Wan Jan mengumumkan melepaskan jawatan sebagai Ketua Penerangan Bersatu selepas berdepan pertuduhan menerima rasuah hampir RM7 juta berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
Menurut Mahiaddin, kes yang dihadapinya tidak sama dengan Wan Saiful, kerana beliau memegang jawatan tertinggi parti.
“Saya akan serahkan kepada majlis tertinggi parti untuk mereka memutuskan. Kerana saya berbeza dengan Wan Saiful.
“Saya adalah Presiden yang dipilih oleh parti. Maka, saya serahkan pada pimpinan,” tambahnya lagi.
BACA JUGA Penyokong ‘Abah’ sanggup ambil MC, redah perjalanan lebih 300km
Â