Menghantar mega jadi duta cinta

Filem, lagu, epik, hikayat, novel dan sajak yang menggambarkan perpisahaan dan rindu antara pasangan kekasih bersifat universal dan terdapat dalam budaya masyarakat di seluruh dunia.

Malah, selepas tercampak ke muka Bumi, Adam dikatakan berjalan jauh untuk bertemu semula dengan Eve (Hawa) yang dirindui. Dalam epik Ramayana juga ada kisah rindu antara Rama dan Sita yang terpisah.

Jika kita meneliti karya fiksyen pelbagai bahasa, maka tema cinta, perpisahan dan rindukan pasangan amat dominan. Memanglah emosi itu amat dekat dengan jiwa manusia pelbagai peringat usia, walau di mana kita berada.

Perpisahan itu boleh berlaku atas pelbagai sebab. Misalnya, Sita dalam Ramayana diculik Ravana manakala Romeo dan Juliet serta Uda dan Dara menjadi mangsa perbezaan status sosial.

Bayangkan pula seorang suami masuk penjara dan amat merindui isterinya. Atau dalam filem Tamil, sering pula pasangan kekasih dipisahkan oleh sengketa keluarga.

Walau apa pun punca, setiap kali berpisah atau terpisah, pasangan itu akan dilanda rindu dan keinginan untuk bertemu semula. Atau sekurang-kurangnya mahu menghubungi individu tersayang untuk bertanya khabar dan meluahkan rasa rindu dalam jiwa.

Atas alasan itulah juga puisi Sanskrit oleh Kalidasa berjudul Megha Duta amat popular sehingga kini di seluruh dunia. Malangnya, dalam konteks Malaysia, kita hampir tidak tahu tentang kewujudan karya agung ini yang sudah lama diraikan peminat puisi, drama dan filem peringkat antarabangsa.

Puisi romantik sepanjang 121 sloka (stanza, rangkap) ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu Poorvamegha (66 sloka) dan Uttaramegha (55 sloka) yang dikarang penuh teliti oleh Kalidasa.

Peminat sastera di Malaysia mengenali tokoh seperti Rabindranath Tagore dan puisi Gitanjali yang dihasilkannya pada tahun 1910. Tagore menang Hadiah Nobel Sastera selepas buku puisi itu diterjemahkan kepada bahasa Inggeris.

Di Malaysia pula, terjemahan Gitanjali dilakukan oleh A. Latiff Mohidin pada 1986, lalu memukau para peminat sastera yang mula kagum dengan karya-karya pelbagai bahasa dari negara India.

Puisi Megha Duta oleh Kalidasa pula mempelopori serta menjadi inspirasi kepada sekurang-kurangnya 55 puisi bertema sandesha kavya (“puisi utusan”) dalam sastera Sanskrit khasnya dan sastera India amnya.

Terjemahan Megha Duta ke dalam bahasa Inggeris pertama kali dilakukan oleh Horace Hayman Wilson pada tahun 1813. Sejak itu, ia merebak seperti api yang marak dalam kalangan peminat puisi dan sastera di Barat.

Apakah hebatnya tentang puisi berkenaan sehingga ia diraikan sedemikian rupa? Kita wajar ambil tahu supaya tidak dianggap jahil tentang sebuah puisi agung yang diperkatakan di seluruh dunia.

Persembahan dramatari Megha Duta akan dibuat sempena Hari Sanskrit Sedunia pada 31 Ogos 2023

Kisahnya tentang watak yaksa iaitu makhluk mitos separuh manusia dan separuh dewa yang lazim dalam cerita-cerita India. Isteri kepada yaksa dikenali sebagai yaksi.

Yaksa bekerja sebagai pengawal dan penjaga di perbendaharaan milik Kubera. Dalam mitos Hindu, Kubera asalnya pemerintah Lanka (Sri Lanka). Selepas adiknya, Ravana, merampas kuasa pemerintahan, Kubera berpindah ke Alaka, sebuah bandar mistik di Gunung Kailasa, Banjaran Himalaya.

Si yaksa yang bekerja menjaga gudang simpanan harta didapati leka semasa bertugas. Maka, dia dibuang daerah selama setahun ke Ramagiri di kawasan pergunungan Vindhya, bahagian tengah India.

Pada masa kini, seseorang yang dibuang daerah mungkin masih boleh berkomunikasi dengan pasangan masing-masing menggunakan telefon, WhatsApp atau pelbagai media komunikasi lain.

Akan tetapi, pada zaman di mana kisah dalam puisi Megha Duta berlaku, tidak wujud sebarang medium seperti itu. Maka, yaksa di Ramagiri terputus hubungan dengan yaksi di Alaka.

Yaksa tahu bahawa isterinya pasti merinduinya. Dia sendiri sudah tidak mampu menanggung rasa rindu untuk bertemu dan meluangkan masa bersama-sama yaksi.

Tempoh lapan bulan sudah berlalu apabila kisah dalam puisi Megha Duta berlaku. Yaksa yang tinggal sendirian di Ramagiri mahu menghantar mesej atau pesanan kepada yaksi.

Dalam situasi itu, yaksa ternampak segumpal awan yang berarak ke arah utara, iaitu arah Alaka. Yaksa yang benar-benar terdesak memutuskan untuk memujuk dan meminta gumpalan awan itu menjadi wakil atau duta untuk menghantar pesanan atau utusan kepada yaksi.

Gambaran awan sebagai duta atau utusan cinta bukanlah sesuatu yang baharu dalam kalangan kaum India. Misalnya, ada banyak lagu filem Tamil yang menggambarkan situasi awan menjadi umpama helaian kertas untuk menulis surat cinta atau awan diminta menjadi posmen yang menyampaikan pesanan kepada kekasih yang jauh.

Sesungguhnya, awan adalah objek tidak bernyawa yang tentu tidak memahami permintaan yaksa. Akan tetapi, dalam keadaan terdesak, manusia sanggup melakukan apa sahaja.

Begitulah juga yaksa dalam puisi karangan Kalidasa. Dia meminta gumpalan awan (mega) menjadi duta untuk menyampaikan pesanan kepada yaksi yang dirindui sejak lapan bulan lalu.

Dalam bahagian Poorvamegha, penyair menggambarkan lokasi sebenar yang wujud di negara India. Yaksa menyenaraikan tempat, manusia, serta flora dan fauna yang akan dilihat oleh gumpalan awan dalam perjalanan dari Ramagiri ke Alaka.

Bahagian Uttaramegha pula menggambarkan suasana, penghuni serta flora dan fauna di Alaka iaitu sebuah tempat mistik yang tidak benar-benar wujud. Maka, gambaran di Alaka lebih imaginatif.

Yaksa memberitahu gumpalan awan tentang rumah agam miliknya yang kini dihuni yaksi yang hidup sendirian. Dikatakan bahawa yaksi pasti sudah kurus; malah rambut dan penampilan dirinya sudah tidak terurus.

Akan bersetujukah gumpalan mega untuk menjadi duta cinta kepada pasangan yaksa dan yaksi itu? Puisi Kalidasa mungkin ada jawapannya. Seperti dinyatakan, puisi itu sudah diterjemah kepada pelbagai bahasa.

Pada 2018, saya melakukan penceritaan semula keseluruhan 121 sloka dalam bentuk prosa dan termuat dalam buku Thirukkural dan Megha Duta.

Buku itu dijadikan teks apabila sekumpulan 20 kanak-kanak dan remaja di bawah bimbingan VK Ezhilarasi Velautham memulakan sesi latihan lakonan drama pentas secara bulanan di Pusat Kebudayaan India, Brickfields, Kuala Lumpur.

Para peserta akan menghayati kisah Megha Duta dan kemudian mempersembahkannya dalam bentuk dramatari sempena Hari Sanskrit Sedunia pada 31 Ogos 2023.

Pengarah Pusat Kebudayaan India, Ramya Hiriyannaiah yang turut menyertai sesi latihan pertama pada 16 April 2023 melahirkan rasa gembira kerana sekurang-kurangnya kini generasi muda di Malaysia akan memahami dan menghayati karya Kalidasa.

———-
Uthaya Sankar SB seorang penulis, pengkaji sepenuh masa dan pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang gemar berkongsi ilmu dengan pembaca.

BACA JUGA: Tang Ah Chai duta perpaduan