Misteri Michael Soosai – Bahagian 3

Dalam bahagian pertama tulisan ini pada 1 Februari 2023, saya menyebut kemungkinan sebuah akhbar Inggeris pada Jun 2005 terkeliru antara Michael Soosai dengan seorang penulis dan penterjemah tersohor tanah air.

Selepas rencana itu tersiar, benar-benar di luar dugaan, saya dihubungi oleh Michael sendiri dari India. Tentulah saya terkejut (dan sedikit risau) kerana tidak pernah menyangka perkara seperti itu akan berlaku.

Ternyata kebimbangan dan kegusaran saya tidak berasas kerana Michael bercakap dengan penuh sopan dan budi pekerti. Rupa-rupanya beliau memang sentiasa mengikuti perkembangan saya dalam bidang penulisan.

Michael turut mengesahkan bahawa memang beliau yang menghasilkan kamus Melayu-Inggeris seperti dilaporkan di media dahulu.

Hal ini amat menarik bagi saya sebagai seorang individu yang mengkaji penglibatan kaum India dalam bidang penulisan bahasa kebangsaan.

Pada kali pertama, perbualan kami berlangsung selama 27 minit dan meliputi pelbagai topik seperti bahasa, penulisan, perkembangan isu-isu semasa serta perkembangan diri Michael sejak hampir dua dekad lalu.

Walaupun pelbagai maklumat dikongsi secara peribadi dan terbuka, tentulah tidak semuanya sesuai dipaparkan kepada umum.

Misalnya, buat masa sekarang, Michael yang berumur 60 tahun meminta supaya saya tidak menulis apa-apa mengenai keluarganya.

Selepas perbualan sulung itu, kami sering berhubung dan berkongsi cerita. Secara peribadi, saya mendapati Michael seorang individu yang sangat berbudi bahasa dalam pertuturan.

Perbualan kami menggunakan Bahasa Malaysia, Tamil dan Inggeris. Ternyata Michael menguasai dan fasih dalam ketiga-tiganya.

Penguasaan bahasa Inggeris, kepetahan berhujah serta kemampuan Michael untuk menulis dengan baik sudah saya kesan sewaktu membaca dua blog yang dikendalikannya sebelum ini; sebuah dari 2005 hingga 2007 dan sebuah lagi dari 2014 hingga 2016.

Michael juga bersetuju untuk diwawancara secara eksklusif supaya orang ramai mengetahui sedikit sebanyak perkembangan semasa tentang dirinya.

Hal ini amat wajar kerana hasil kajian dan pembacaan bahan arkib sebelum ini, kisah mengenai individu kelahiran Pulau Pinang ini terhenti pada tahun 2016.

Laporan media pada 2018 dan 2021 sekadar memaklumkan bahawa “Michael masih mendahului senarai individu yang dikehendaki Interpol dan tetap diletakkan di bawah notis merah”.

“Kerajaan India memberikan hak menetap di negara India tapi bukan kewarganegaraan kerana nanti kewarganegaraan Malaysia akan terlucut secara automatik,” kata Michael apabila saya bertanya tentang perkembangan dirinya di negara berkenaan.

Maklumat ini pasti mengejutkan ramai orang kerana tidak mustahil ramai yang menyangka dan membayangkan Michael bersembunyi dan hidup secara berselindung di negara India.

Ini ialah gambar terbaru Michael Soosai yang dikirimkan olehnya kepada penulis.

Sebaliknya, menurut Michael, beliau bebas bergerak dan meneruskan hidup seperti biasa di India tanpa sebarang sekatan dan halangan.

Selepas membaca bahagian pertama rencana ini, Michael turut menulis komen di portal Harapan Daily dengan mencatatkan nombor telefon dan alamat e-mel peribadi.

“Sesiapa sahaja boleh menghubungi saya. Malah, semua pihak berkenaan sudah ada nombor telefon saya dalam simpanan dan bebas menghubungi saya pada bila-bila masa,” katanya dengan tenang dan penuh yakin.

Sepanjang komunikasi kami sejak 1 Februari 2023, Michael bercakap dengan tenang, sopan, spontan dan teratur.

Sebagai seorang perunding media dan pelatih pengucapan awam, saya dapat mengesahkan bahawa apa-apa yang diceritakan olehnya adalah ikhlas dan tulus.

“Kebebasan bersuara adalah hak saudara dan saya kagum dengan bakat penulisan saudara,” kata Michael apabila ditanya lagi tentang reaksi sebaik membaca tulisan saya mengenai dirinya.

Ternyata beliau tetap mengikuti perkembangan di Malaysia. Malah, Michael melahirkan harapan yang lebih cerah bagi negara ini selepas menyaksikan perubahan positif yang berlaku sejak Pilihan Raya Umum Ke-15.

Satu lagi perkara yang saya perhatikan pada setiap kali kami berbual adalah semangat cinta dan rindu Michael kepada Malaysia. Beliau tidak sesekali memburuk-burukkan negara kelahirannya.

“Tanah tumpah darah adalah bagai syurga. Bagi saya, Malaysia sebuah negara yang jauh lebih baik daripada Eropah atau Amerika Syarikat,” katanya dengan penuh rasa bangga.

Michael juga berkali-kali menyebut bahawa beliau tidak akan melepaskan taraf kewarganegaraan Malaysia.

Misalnya, walaupun diberi hak penduduk tetap (PR) dan sedang hidup bahagia di India, Michael tidak sesekali berhajat memohon kerakyatan di republik berkenaan.

“Saya akan kembali ke tanah air,” ujarnya pada hampir setiap kali kami berbual.

Semangat dan keyakinan yang dimiliki itu menunjukkan Michael benar-benar bercadang untuk datang semula ke Malaysia.

Beliau tidak memperincikan rancangan itu dan saya juga tidak bertanya secara terlalu mendalam.

Pada masa sama, banyak juga topik yang kami bualkan dan saya sudah berjanji tidak akan mendedahkan butir perbincangan peribadi itu kepada umum sebelum tiba masanya.

Apa yang pasti, sebaik Michael menghubungi saya pada 1 Februari 2023 dan bersedia pula untuk berkongsi sedikit maklumat secara eksklusif untuk siaran di Harapan Daily, kita tahu secara pasti bahawa beliau selamat di India dan merancang untuk pulang ke Malaysia dalam masa terdekat.

———-
Uthaya Sankar SB seorang penulis, pengkaji sepenuh masa dan pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang gemar berkongsi ilmu dengan pembaca.

BACA JUGA: Misteri Michael Soosai – Bahagian 1

Misteri Michael Soosai – Bahagian 2