Mohamad usahakan penyelesaian jangka panjang untuk telur, ayam

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu nampaknya bukan setakat menyelesaikan masalah kekurangan bekalan telur dan harga ayam yang mahal untuk jangka pendek sahaja.

Bahkan, beliau telah merancang untuk menyelesaikan masalah ini untuk jangka masa panjang juga.

Bagi Mohamad, masalah ini perlu diuruskan pada akar umbinya lagi iaitu bekalan makanan kepada ayam daging dan telur itu. Ini kerana kos utama ayam dan telur adalah makanan ayam itu.

Punca utama kenaikan harga ayam dan kekurangan bekalan telur di pasaran adalah kerana masalah makanannya yang naik harga kerana komponen utamanya iaitu jagung bijian diimport dari luar negara.

“Masa Covid-19 dahulu, kita kekurangan pekerja. Lepas itu, duit kita jatuh kepada RM4.75 bagi 1 USD. Perang Rusia dan Ukraine juga sebabkan bekalan barang makanan luar negara naik harga.

“Bahan utama makanan ayam adalah jagung bijian yang kita import. Jagung ini naik berkali ganda menyebabkan kos ternakan ayam kita meningkat.

“Sebab itu harga ayam naik dan bekalan telur kita berkurangan,” kata Mohamad dalam wawancara khas dengan beliau baru-baru ini.

Menurut Mohamad, kerajaan sebelum ini telah memberikan subsidi kepada penternak untuk mengawal harga telur dan ayam.

“Untuk penyelesaian jangka pendek, kita telah import telur. Jadi sekarang kita hampir selesai masalah bekalan telur apabila kita import, campur dengan subsidi kepada penternak, kita kawal harganya,” kata beliau.

Namun itu juga bukan penyelesaian jangka panjang. Bagi Mohamad penyelesaian sebenar adalah mengawal harga makanan ayam ini.

“Kita sudah mulakan proses ini dengan membuat penyelidikan untuk menanam sendiri jagung bijian yang menjadi kandungan utama kepada makanan ayam.

“Sebelum ini, kita import banyak jagung bijian atau grain corn ini dari beberapa negara. Sekarang kita cuba tanam sendiri.

“Penyelidikan sudah bermula dengan menanamnya di Perlis kerana cuacanya agak ekstrim dan sesuai dengan jagung bijian yang memerlukan cuaca panas,” kata Mohamad yang mempunyai ramai keluarga di sana kerana isterinya berasal dari Perlis.

Perlis telah mula menanam jagung bijian sebagai percubaan. Dua GLC mula melahirkan minat untuk terlibat.

Yang lebih mengembirakan Mohamad adalah minat dua badan besar iaitu FGV dan sebuah lagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menyertai projek penanaman jagung jenis ini.

“Insya Allah apabila dua agensi besar ini turut terlibat menanam jagung bijian ini, kita akan mendapat sumber makanan ayam dari pengeluar tempatan bukan import lagi,” katanya.

Sehingga tahun lepas, Perlis membangunkan kawasan seluas 255.5 hektar bagi tanaman jagung bijian. Mereka mensasar 500 hektar tanah ditanam dengan jagung ini menjelang tahun 2025.

Sejak tahun 2017 lagi, kawasan Lembah Chuping telah ditanam dengan jagung bijian, dan industri jagung jenis ini dilihat semakin berkembang dengan baik.

Harga jualan langsung jagung bijian yang mencecah RM1,800 bagi satu tan akibat faktor perubahan cuaca global telah mendorong lebih banyak syarikat dan agensi swasta beralih kepada komoditi berkenaan.

“Sekarang nilai ringgit kita telah semakin baik. Dari RM4.75 kepada RM4.30 sahaja untuk 1 USD sekarang.

“Jadi kadar harga import makanan ini juga sudah berkurang. Pada bulan Julai nanti, kita akan mengapungkan harga telur agar ia boleh dijual mengikut harga pasaran tanpa sekatan lagi,” katanya.

Melalui dua tindakan utama ini, Mohamad berharap boleh membantu menyelesaikan isu bekalan dan mengawal harga ayam dan telur di pasaran.

 

BACA JUGA ‘Abang Mat layak terima Datuk Seri, usaha pulih stok telur wajar diberi markah’

JUGA Kerja keras MAFS berhasil: “Sekarang telur penuh rak, stok mencukupi” – Netizen