Muafakat Tani Negeri Sembilan kurangkan kos belanja barangan dapur

Rakyat Negeri Sembilan boleh menghela nafas lega dengan pelbagai inisiatif baharu sepanjang pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) termasuk Muafakat Tani.

Inisiatif tersebut antara enam inisiatif baharu yang diperkenalkan pada tahun ini di bawah bidang tumpuan Jaminan Bekalan Makanan.

Muafakat Tani bertujuan mengimbangi beban kos sara hidup rakyat dan seterusnya memupuk minat bertani dalam kalangan isi rumah dan komuniti.

Sebanyak RM500,000 peruntukan disediakan bagi menarik minat rakyat Negeri Sembilan untuk berpartisipasi dalam aktiviti agrikultur merangkumi Pakej Personal dan Pakej Komuniti.

Bagi Pakej Personal, pakej bantuan bernilai RM1,000 diberikan bagi seorang peserta manakala Pakej Komuniti bernilai RM15,000 bagi setiap komuniti berupa pemberian kit pertanian seperti benih, baja dan tanah campuran bagi memulakan tanaman.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berharap inisiatif tersebut dapat memberi galakan kepada masyarakat untuk melaksanakan kebun komuniti masing-masing bagi mengurangkan kos belanja barangan dapur.

Selain inisiatif Muafakat Tani, lima lagi inisiatif baharu dilaksanakan oleh kerajaan Negeri Sembilan dengan peruntukan sebanyak RM7.05 juta sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan bagi bidang tumpuan Jaminan Bekalan Makanan mencecah RM9.05 juta.

BACA JUGA Negeri Sembilan sumbang RM1,000 kepada penggali kubur