Negeri Sembilan aman sebab tiada Pas, Bersatu
Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani menyifatkan ketiadaan Pas dan Bersatu di negeri itu sebagai sesuatu yang mendamaikan.
Pengarah Pilihan Raya AMANAH negeri itu berkata, selain merasai ‘keamanan’ di negeri yang terkenal dengan Adat Perpatih itu, istilah ‘tebuk atap’ juga tidak wujud.
“Yang suka kacau kerajaan stabil ini adalah Bersatu dan Pas. Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini tiada kedua-dua pihak itu.
“Alhamdulillah, Negeri Sembilan ini tiada Pas, tiada Bersatu, sebab itu kita aman dan tiada tebuk atap.
“Maka kita dapat bertahan sehingga ke hari ini dan Alhamdulillah sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan, kita boleh berbahas dengan baik,” ujarnya.
Taufek berkata demikian ketika berucap dalam program Ceramah Perpaduan DUN Paroi di Padang Apartmen Taman Tasik Jaya, Senawang kelmarin.
Program anjuran Biro Mobilisasi AMANAH Nasional dan negeri itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari; Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar dan Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad.
Mengulas lanjut, Taufek yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi berkata, dalam sejarah negeri, 2019 merupakan tahun terbaik pencapaian hasil kerajaan negeri.
Katanya, sebelum era pemerintahan Pakatan Harapan (PH) di negeri itu, kerajaan terdahulu hanya mencapai pendapatan antara RM420 juta hingga RM450 juta.
“Ketika kita (PH) jadi kerajaan baru dua tahun, (mula mentadbir pada 2018), pada 2019 kita sudah mencatat pendapatan RM550 juta. Maknanya lebih RM150 juta dicatatkan berbanding kerajaan terdahulu.
“Walaupun kita tiada pengalaman dan bukanlah tokoh-tokoh yang hebat kononnya mempunyai Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang ekonomi, kita semua adalah satu kerajaan bersifat kolektif yang dipimpin Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun,” tambahnya lagi.
BACA JUGA ‘Tidak pulang dengan tangan kosong, orang kuat Umno pun suka YB PH’
Â