Sultan Selangor saran rakyat dapatkan manfaat 46 program kebajikan negeri

Sultan Selangor menghargai 46 program kebajikan dalam kerangka Iltizam Selangor Penyayang yang diperkenalkan kerajaan negeri bagi manfaat rakyat.

Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata program tersebut melibatkan inisiatif meliputi aspek pendidikan, perumahan, pembangunan modal insan dan kesihatan khusus untuk memperkasakan rakyat.

“Beta berharap agar rakyat yang layak menyertai program-program ini mengambil peluang untuk menerima manfaat dari Iltizam Selangor Penyayang.

“Kerajaan Beta akan meneruskan pemberian bantuan kewangan menerusi pelaksanaan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) bagi tahun 2023 dengan jumlah RM3,600 setahun kepada 30,000 keluarga pendapatan rendah di Selangor dengan peruntukan tahunan sebanyak RM108 juta,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam istiadat pembukaan mesyuarat pertama penggal keenam Dewan Negeri Selangor ke-14 hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah pada tahun ini juga kerajaan menambah baik inisiatif sedia ada kepada warga emas dan OKU iaitu Skim Mesra.

“Di bawah Skim Mesra akan dilaksanakan Skim Mesra Insan Istimewa (SMIS) kepada golongan OKU,” titah baginda.

Baginda difahamkan peruntukan bagi program-program tersebut turut dinaikkan selari dengan keadaan kos sara hidup yang makin meningkat ketika ini.

Titah baginda program peningkatan pendapatan golongan B40 menerusi bantuan peralatan atau mesin juga terus dilaksanakan dengan peruntukan RM2 juta pada tahun ini.

BACA JUGA: Orang politik jangan jadikan masjid pentas ceramah, kempen – Sultan Selangor