Pas mengakui terima duit dari pelbagai pihak, termasuk…

Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang mengaku bahawa pihaknya menerima sumbangan dari pelbagai pihak untuk menghadapi pilihan raya enam buah negeri nanti.

Ekoran itu beliau ditanya, apakah ia termasuk komisyen tiga hingga lima peratus dari dana RM92.5 bilion yang dibelanjakan oleh kerajaan Tan Sri Mahiaddin Md Yassin sebelum ini.

Dalam sidang media beliau, Hadi menjawab soalan wartawan berapakah wang yang akan Pas kumpulkan untuk menghadapi PRN akan datang dan dari manakah sumbernya.

Hadi berkata setiap cawangan Pas mengumpulkan derma dan ada tabung masing-masing untuk pilihan raya.

“Sejak lepas pilihan raya 14 lagi mereka dah kumpul kewangan itu.

“Cumanya bila tak cukup tu, kita dapatkan sumbangan dari pelbagai pihak,” kata Hadi kepada media.

Dalam ruang komen video yang dinaikkan ke Tiktok itu, ramai yang bertanya dari mana Pas mendapat sumbangan lain-lain pihak itu.

“Macam Kak Mah juga, menabung dari kecil,” kata salah seorang dari mereka.

“Sumbangan dari pelbagai pihak…. jeng jeng jeng,” tulis IkanKeli597 menyindir Hadi.

“Dapat sumbangan dari pelbagai pihak tu yang musykil tuan haji,” tulis Thivagar60 dalam komen beliau.

“Pas mana ada duit, tapi Abah banyak duit, bilion-bilion,” kata Azudin Zainal Abidin pula.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menjalankan siasatan bagaimana kerajaan pimpinan Tan Sri Mahiaddin membelanjakan wang RM92.5 bilion ketika pandemik Covid-19 dahulu.

Maklumat awal yang diperolehi adalah, kontraktor yang menerima projek kerajaan ini perlu membayar tiga hingga lima peratus kepada parti politik tertentu dari nilai projek yang mereka perolehi.

Dalam pilihan raya umum yang lepas, pelbagai pihak terkejut dengan perbelanjaan mewah dan luar biasa yang dibuat Perikatan Nasional (PN) termasuk Pas.

Umno Terengganu telah memfailkan tiga petisyen pilihan raya untuk membatalkan keputusan pilihan raya umum lalu termasuk di Parlimen Marang yang dimenangi oleh Hadi.

 

BACA JUGA Malaysia Madani pendekatan terbaik selamatkan negara – Anwar