Perebutan kerusi MB Selangor bukti PN tidak sepakat

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar mendakwa Perikatan Nasional (PN) tidak akan mampu menerajui negeri Selangor kerana dua dari tiga komponen PN mempunyai calon tersendiri sebagai Menteri Besar (MB) Selangor.

Katanya, ketidaksepakatan di antara Pas dan Bersatu itu telah diterjemahkan menerusi beberapa kenyataan berasingan pimpinan PN yang telah menamakan beberapa individu antaranya Datuk Seri Azmin Ali, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Khairy Jamaluddin sebagai calon MB Selangor.

Azmin ialah pemimpin Bersatu dan mantan Menteri Besar. Beliau sekarang Adun Bukit Antarabangsa sahaja setelah kecundang di dalam usaha mempertahankan kerusi parlimen Gombak.

Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi pula ialah Adun Sijangkang dan Ahli Parlimen Kuala Langat.

“PN sendiri tidak boleh selesaikan masalah calon MB Selangor kalau kita tengok ada nama Azmin Ali tapi ada di kalangan pimpinan Pas tidak bersetuju kerana mereka ada calon yang lebih layak termasuk Yunus Hairi.

“Ditambah pula kononnya Khairy Jamaluddin pun nak jadi MB, maknanya mereka (PN) sendiri tiada kesepakatan untuk menamakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diwawancara oleh Harapan Daily di Pusat Khidmat Rakyat DUN Seri Setia, baru-baru ini.

Pada 1 Februari lalu, Timbalan Pengarah Jentera Pilihan Raya PN Selangor, Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi berkata, calon terbaik adalah bekas MB Selangor sendiri yang juga Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sehari selepas itu, Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor (DPPS), Mohamed Sukri Omar pula mencadangkan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi sebagai calon MB jika PN menang dalam pilihan raya umum nanti.

Paling terbaru, nama Khairy Jamaluddin pula disebut-sebut sebagai calon MB Selangor dari PN. Beliau ditawarkan untuk menjadi calon PN dan ditawarkan jawatan sebagai calon MB Selangor jika PN menang dalam PRN nanti.

Selangor dan lima negeri lain- Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan bakal menyaksikan pilihan raya negeri tahun ini.

Mengulas lanjut Halimey berkata, kecelaruan yang timbul untuk menamakan nama calon MB Selangor oleh PN hanya akan mencetuskan ketidakstabilan politik di negeri Selangor.

“Saya kira pembangkang (PN) harus memikirkan bagaimana mereka hendak memenangi hati rakyat dengan menumpukan segala kerja dan usaha untuk membantu rakyat terbanyak.

“Saya yakin rakyat Selangor masih percaya dengan kepimpinan negeri Selangor yang ada sekarang ini di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH),” tambah beliau.

BACA JUGA: Razman Zakaria pengecut

Â