Ringgit kekal RM4.43 sedolar AS, perhatian pelabur mula terarah pada Belanjawan 2023

Nilai ringgit dibuka pada RM4.43 berbanding satu dolar Amerika Syarikat (AS) dengan perhatian pelabur mula terarah kepada pembentangan semula Belanjawan 2023 Malaysia petang ini.

Pada 9 pagi, nilai ringgit berada pada 4.4315/4360 berbanding dolar AS daripada 4.4315/4365 pada penutup Khamis.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata pembentangan semula Belanjawan 2023 berkemungkinan menawarkan sedikit sokongan propertumbuhan kepada ringgit hari ini, lapor Bernama.

Selain itu, tumpuan pelabur turut diberikan kepada data Indeks Harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) AS yang akan dikeluarkan malam ini, kata penganalisis.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dijadual membentangkan Belanjawan Malaysia MADANI 2023 di Dewan Rakyat lewat hari ini, belanjawan negara pertama yang dibentangkan di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan beliau.

Sementara itu, ringgit didagangkan kebanyakannya lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama kecuali pound Britain, menyaksikan ia menambah nilai kepada 5.3289/3343 daripada 5.3311/3371 pada penutupan Khamis.

Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding yen Jepun menjadi 3.2990/3028 daripada 3.2855/2895 semalam, rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.3019/3058 daripada 3.2990/3032, dan susut berbanding euro kepada 4.7000/7048 daripada 4.6943/6996 sebelumnya.

Ringgit

Baca juga: Belanjawan sederhana berlandaskan Malaysia Madani dijangka jadi fokus