Rogol gadis: PDRM perlu kembalikan keyakinan rakyat

Insiden seorang gadis bawah umur menjadi mangsa rogol seorang inspektor polis seperti dilapor media dikutuk Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia.

Timbalan Ketua AMK, Muhamad Kamil Abdul Munim berkata, kejadian seumpama itu mengguris kepercayaan masyarakat terhadap pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

“Insiden ini telah mencalarkan imej PDRM dan mengakibatkan terhakisnya kepercayaan awam terhadap institusi penguatkuasa keselamatan yang seharusnya menjadi tempat paling selamat buat mereka yang menjadi mangsa jenayah yang ditindas dan dianiaya.

“Meskipun kita sedia maklum bahawa siasatan sedang dijalankan di mana pegawai penyiasat yang disyaki telah ditahan, cabaran besar bagi pihak PDRM adalah untuk memastikan kepercayaan awam terhadap institusi PDRM dapat dikembalikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Susulan isu tersebut, Kamil mahu PDRM memberi jaminan agar kejadian serupa tidak akan berulang selain perlu tindakan tegas dikenakan terhadap anggota yang melanggar undang-undang.

AMK juga menuntut penelitian semula tatacara pengendalian proses siasatan agar lebih telus dan selamat.

“Antaranya dengan mempertimbangkan keperluan untuk menggunakan kamera video semasa proses siasatan dijalankan bagi tujuan pengawasan atau mewajibkan proses mengambil keterangan bagi kes seumpama ini dilaksanakan dalam ruang atau bilik yang dilengkapi kamera litar tertutup,” katanya.

Kamil juga menegaskan komitmen semua pihak untuk melaksana reformasi institusi dan mengembalikan keyakinan awam terhadap pasukan keselamatan.

Pada 31 Disember lalu, seorang remaja perempuan 16 tahun yang ingin membuat laporan dirogol bapa tirinya membuat laporan polis kerana mendakwa menjadi mangsa rogol seorang pegawai berpangkat inspektor ketika berada sebuah balai polis di Alor Setar.

BACA JUGA Keputusan tutup sekolah bergantung kepada KKM