SPRM gagal patuhi protokol sebelum siasat Hakim Mohd Nazlan – Mahkamah Tinggi
Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap hakim Mohd Nazlan Ghazali dilakukan tanpa mengikut protokol, demikian diputuskan Mahkamah Persekutuan hari ini.
Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, yang mempengerusikan panel tujuh hakim berkata badan penyiasatan seperti SPRM sewajarnya berunding terlebih dahulu dengan ketua hakim negara sebelum memulakan siasatan.
Namun dalam kes Mohd Nazlan, Tengku Maimun berkata ketua hakim negara tidak dimaklumkan berhubung perkara itu, sekali gus menunjukkan tiada niat baik dalam siasatan terbabit
“Badan penyiasatan seperti SPRM, mesti berunding dengan ketua hakim negara sebelum siasatan (dimulakan). Dan kegagalan tidak memaklumkannya, menunjukkan terdapat kekurangan bona fide di pihak mereka.
“Pengumuman itu (yang dibuat oleh SPRM di media) sudah cukup untuk merosakkan kebebasan kehakiman,” katanya.
Beliau berkata, antara protokol yang perlu dipatuhi ialah, badan siasatan mesti terlebih dahulu berunding dengan ketua hakim negara sebelum memulakan siasatan terhadap hakim berkenaan; badan siasatan tidak boleh menghebahkan fakta siasatan tanpa kebenaran ketua hakim negara; dan pendakwa raya mesti berunding dengan ketua hakim negara ketika siasatan termasuk dalam keputusannya untuk melakukan pendakwaan.
Pada April 2022, SPRM membuka kertas siasatan susulan laporan berhubung wang tidak dapat dijelaskan melebihi RM1 juta dalam akaun bank Nazlan.
Nazlan kemudian membuat laporan polis mengenai dakwaan terbabit, sambil menyatakan ia “palsu, tidak berasas dan berniat jahat” untuk merendahkan kredibilitinya sebagai hakim
Mohd Nazlan ialah hakim yang mengetuai perbicaraan kes SRC International membabitkan Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Dalam rayuan di Mahkamah Persekutuan, Najib pernah berhujah yang mana Mohd Nazlan mempunyai konflik kepentingan yang serius ketika menghakimi pembicaraannya.
Baca juga: Ringgit kekal RM4.43 sedolar AS, perhatian pelabur mula terarah pada Belanjawan 2023