Tiada caj dikenakan kepada peguam syarie, kajian diteruskan – Menteri

Kerajaan memutuskan untuk tidak menetapkan sebarang fi ke atas anggota Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan (BPS) sebagaimana terkandung dalam peruntukan Akta Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 atau Akta 814.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata beliau sangat prihatin dengan kebajikan peguam syarie khususnya dalam era pandemik selain profesion berkenaan belum penuh sepenuhnya.

“Sehubungan itu, saya berpandangan bahawa perlunya kajian lanjut dilaksanakan dengan mengambil kira amalan yang dilaksanakan oleh mahkamah sivil dan Majlis Peguam berhubung pengurusan peguam bela dan peguam cara sebelum apa-apa ketetapan berhubung dengan pengenaan fi boleh dibuat.

“Perkara ini penting supaya sebarang keputusan berhubung dengan penetapan fi dapat dibuat dengan adil serta bebanan kepada mana-mana pihak dapat dielakkan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohd Na’im berkara pihaknya juga mendapat maklum balas dan pandangan daripada Majlis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan (MPSWP), Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dan Jabatan Peguam Negara berkenaan isu fi dan caj ini.

“Memandangkan kajian lanjut masih sedang dilaksanakan dan fi masih belum ditetapkan, dengan itu saya berhasrat untuk tidak menetapkan fi di bawah Seksyen 23, 24, 29 dan 31 Akta 814 bagi tahun 2023.

“Bagi tahun 2024 dan seterusnya, perkara ini akan ditentukan setelah kajian lanjut tersebut dibuat serta perbincangan dengan pihak-pihak yang berkepentingan diadakan,” katanya.

Jelas beliau, pihaknya dimaklumkan pada masa ini terdapat permohonan daripada peguam syarie untuk mendapatkan Perakuan Amalan Tahunan di bawah Seksyen 29 Akta 814 yang memperuntukkan bahawa permohonan hendaklah disertakan dengan fi yang ditetapkan.

Terdahulu Mohd Na’im menjelaskan Akta 814 telah mula berkuat kuasa pada 21 Jun lalu dan melalui Mesyuarat Pemilihan Anggota Majlis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan yang pertama diadakan pada 8 Ogos tahun lalu.

Jelasnya seramai 13 orang peguam syarie telah dipilih untuk menganggotai MPSWP dengan Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dipilih sebagai Pengerusi MPSWP pertama.

“Berikutan pelaksanaan Akta 814, beberapa fi dan caj boleh dikenakan ke atas anggota Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan iaitu yuran tahunan dan levi di bawah Seksyen 47 Akta 814 yang kena dibayar kepada Badan Peguam Syarie dan beberapa fi lain di bawah Seksyen 23, 24, 29 dan 31 yang kena dibayar kepada Ketua Pendaftar.

“Berhubung dengan fi yang kena dibayar, peruntukan ini memberikan kuasa kepada saya selaku Menteri untuk menetapkan fi yang berkenaan melalui kaedah-kaedah,” katanya.

BACA JUGA: Malaysia dapat kembali kuota 31,600 jemaah haji