Tiada tapisan, pengklasifikasian kandungan dalam aplikasi pemesejan segera

Kerajaan tidak menjalankan sebarang tapisan atau pengklasifikasian kandungan dalam aplikasi permesejan segera seperti WhatsApp, Wechat, Michat dan sebagainya.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, bagi aplikasi yang jelas melanggar peruntukan undang-undang seperti membuat penipuan dan penyamaran, tindakan sewajarnya boleh diambil termasuk dengan menyekat aplikasi berkenaan daripada digunakan.

Dalam aspek ini kata Fahmi, kerajaan berpandangan sesebuah platform apabila diguna dengan positif, hasilnya akan positif. Tetapi jika ia diguna untuk niat jahat untuk scam, menipu dan menyebar fitnah, kesannya amat negatif buat negara.

“Tindakan-tindakan penguatkuasaan yang dijalankan oleh pihak Kerajaan adalah berasaskan aduan daripada masyarakat awam serta pihak yang terkesan, dan berlandaskan lunas-lunas perundangan sedia ada

“Sekiranya terdapat mana-mana pihak atau individu melakukan sebarang bentuk tindak-tanduk atau memuat naik kandungan yang melanggar peruntukan undang-undang sedia ada, tindakan penguatkuasaan boleh diambil terhadap pihak atau individu yang berkenaan.

“(Tindakan penguatkuasaan) bukanlah kepada platform yang menjadi platform perkongsian kandungan atau maklumat,” katanya pada Sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan P Prabakaran (Batu-PH) yang bertanya adakah kerajaan berhasrat untuk mengkaji semula kebenaran penggunaan aplikasi WhatsApp, Telegram, Wechat, Michat, dan beberapa aplikasi permesejan lain.

BACA JUGA: Fahmi arah CSM siasat kebocoran maklumat 3 juta pengguna MySejahtera