Tuduhan Mahiaddin berkaitan Yayasan Albukhary terhadap Lim mencuri tumpuan

Tuduhan Mahiaddin Yassin (Pagoh-PN) terhadap Lim Guan Eng (Bagan-PH) bahawa Lim membatalkan pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Albukhary semasa Lim menjadi Menteri Kewangan sejak Mei 2018 sehingga Februari 2020 akan menjadi persoalan yang mencuri tumpuan semasa sesi pertanyaan perdana menteri.

Cha Kee Chin (Rasah-PH) membangkitkan persoalan tersebut kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan dalam soalan pertama.

Beliau turut menanyakan bila pengecualian tersebut berkuatkuasa dan dipulihkan semula, jumlah kewangan yang diterima yayasan tersebut dan manfaat kepada kerajaan hasil dari pengecualian tersebut.

Lim sudahpun menghantar notis guaman bahawa beliau akan menyaman Mahiaddin ekoran tuduhan yang dibuat oleh pemimpin Perikatan Nasional tersebut.

Muslimin Yahya (Sungai Besar-PN) pula menanyakan justifikasi membenarkan penggunaan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sebagai cagaran untuk memohon pinjaman bank.

Hanya dua soalan dibangkitkan kepada perdana menteri hari ini berbanding dengan kebiasaan iaitu tiga soalan.

BACA JUGA: Lim Guan Eng hantar surat saman kepada Mahiaddin