Mahfuz tidak berminat tanding DUN lepas tewas di Parlimen Pokok Sena

Bekas penyandang kerusi Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar memaklumkan tidak akan bertanding bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dalam Pilihan Raya Negeri akan datang.

Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu beliau gagal mempertahankan kerusi Parlimen Pokok Sena dan tewas dengan calon Perikatan Nasional, Datuk Ahmad Yahaya yang memperoleh majoriti 31,751 undian.

Mahfuz pula memperoleh 20,524 undian.

Kata Mahfuz, beliau tidak berhasrat untuk bertanding di kerusi DUN kerana sejak dahulu lagi walaupun ditawar kerusi tersebut, beliau tidak berminat untuk bertanding

“Saya sebenarnya dari dulu tidak berminat untuk bertanding di kerusi DUN. Saya pernah ditawarkan bertanding DUN, saya langsung tak minat. Namun terserah kepada parti buat keputusan,” katanya.

Naib Presiden AMANAH itu turut menjelaskan bahawa nama-nama calon bagi kerusi DUN Kedah telah pun disenaraikan, justeru tiada persoalan mengenai beliau akan bertanding di DUN atau pun tidak

Menjawab teka teki berkenaan kemungkinan BN atau PH yang akan menguasai kerusi majoriti di Kedah, Mahfuz berkata kerusi akan diagihkan secara adil.

Beliau mengingatkan semua pihak untuk menerima hakikat bahawa jumlah kerusi akan dikecilkan untuk dibahagi bersama rakan gabungan baru.

“Yang penting kita sudah ada senarai calon di peringkat AMANAH dan di peringkat PH.

“Namun begitu saya menyeru kepada semua supaya terima hakikat bahawa kita terpaksa membahagikan kerusi kita dengan Barisan Nasional dan sudah tentu setiap parti perlu mengecilkan jumlah kerusi yang mereka akan tandingi

“Kita pastikan semua pihak dapat situasi menang menang. Kita tak boleh katakan parti ini dapat lebih, parti itu dapat lebih,” ujarnya lagi.

Baca juga: Boleh menang 33 kerusi DUN? Dakwaan kosong

Baca juga: Kerjasama PH-BN di enam negeri ‘hampir pasti’