Boleh menang 33 kerusi DUN? Dakwaan kosong

EKSKLUSIF Kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Perikatan Nasional (PN) boleh memenangi 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah hanyalah dakwaan kosong sahaja.

Ini kerana Sanusi hanya bersandarkan kepada pencapaian gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu tetapi tiada data kukuh berkenaan pola pengundi di peringkat DUN, kata pengerusi Pakatan Harapan Kedah, Datuk Mahfuz Omar

Mahfuz yang juga merupakan naib presiden Amanah berkata PN juga sebenarnya tiada keyakinan untuk menyapu hampir kesemua kerusi DUN kerana jika mereka yakin akan menang, sepatutnya DUN dibubarkan sekali dengan Parlimen pada PRU15 yang lalu.

“Saya percaya kalau mereka yakin dan ada maklumat akan berlaku satu gelombang (sokongan) seperti mana yang mereka terima dalam PRU15, sudah tentu mereka akan bubar (DUN).

“Tapi mereka sendiri pun tepuk dahi sebab salah percaturan. Mereka tak bubar tempoh hari kerana mereka tak yakin boleh bertahan.

“Jadi bila tak ada keyakinan, maknanya sesuatu yang berbeza akan berlaku pada pilihan raya negeri sebab ada hal yang sudah tidak relevan pada PRU lalu untuk diaplikasikan pada PRN akan datang,” katanya dalam temu bual eksklusif Harapan Daily di Hotel Sunway Putra pada hujung minggu.

Mantan Ahli Parlimen Pokok Sena tersebut turut memberi jaminan bahawa Pakatan Harapan (PH) akan memastikan semua kerusi yang pernah dimenangi gabungan itu di peringkat DUN akan dapat dipertahankan.

Pada PRU14, PH memenangi 18 kerusi DUN daripada 36 kerusi yang dipertandingkan.

Pas memenangi 15 kerusi DUN manakala Barisan Nasional (BN) hanya tiga kerusi. BN menyaksikan kekalahan teruk apabila mereka hilang hampir keseluruhan 21 kerusi DUN yang dimenangi pada PRU13.

PH yang bertanding menggunakan logo PKR memenangi kerusi DUN Ayer Hangat, Kuah, Kota Siputeh, Bukit Kayu Hitam, Jitra, Derga, Bakar Bata, Kota Darul Aman, Alor Mengkudu, Anak Bukit, Kubang Rotan, Pengkalan Kundor, Bukit Selambau, Bakar Arang, Sidam, Lunas, Kulim dan Gurun.

Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang mewakili Bersatu yang ketika itu di bawah Pakatan Harapan menjadi Menteri Besar Kedah.

Walau bagaimanapun keputusan Bersatu untuk keluar dari PH turut mengakibatkan perubahan tampuk pemerintahan kerajaan. Ini menyebabkan Muhammad Sanusi Md Nor menjadi Menteri Besar

BACA JUGA: