“Anda terpalit dalam kes rasuah, duduk diam”

Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Mahiaddin Yassin wajar memilih untuk berdiam diri dan bukannya menyatakan bahawa tuduhan berkenaan kes rasuah RM92.5 bilion adalah rekaan semata-mata.

“Anda sudahpun terpalit dalam kes ini. Lebih baik anda berdiam diri. Sekiranya saya peguam anda, saya akan menasihatkan anda supaya berdiam diri,” kata peguam Hanipa Maidin. Hanipa adalah AJK Tertinggi Amanah dan mantan ahli parlimen Sepang.

Mahiaddin yang juga presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan presiden Perikatan Nasional baru-baru ini menyatakan bahawa tuduhan yang dimulakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai satu rekaan.

Beliau berkata demikian ekoran daripada kenyataan bekas menteri kewangan, Tengku Zafrul Tengku Aziz yang menyatakan bahawa kerajaan pimpinan Mahiaddin tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Hanipa berharap bahawa Mahiaddin akan didakwa di mahkamah.

“Kalau ada kesalahan, kita harap ada pendakwaan.”

Keyakinannya adalah berdasarkan keterangkuman Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Akta SPRM sangat lengkap. Jika disiasat atau disoal, kemungkinan besar beliau akan disabitkan. Segala kelompangan di dalam undang-undang telah pun diisikan. Penggubal undang – undang telah berfikir seperti seorang peguam bela (semasa menggubal undang-undang ini),” katanya.

Beberapa individu telah ditahan dan disoalsiasat baru – baru ini. Penahanan Adam Radlan Adam Muhammad memberikan gambaran berkaitan dengan keterlibatan Mahiaddin dalam kes ini. Ini kerana Adam yang merupakan sepupu kepada menantu Mahiaddin merupakan individu yang dilaporkan mengumpulkan wang rasuah bagi pihak bekas perdana menteri tersebut.

Para kontraktor yang disoalsiasat mengakui bahawa mereka bersetuju membayar komisyen sebanyak tiga hingga lima peratus kepada orang tengah untuk mendapatkan kontrak yang bernilai di antara RM50 juta hingga RM500 juta melalui kaedah rundingan terus.

Mahiaddin yang kini berada di kota London dan Tengku Zafrul yang kini menjawat jawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri belum disoalsiasat oleh pihak SPRM.

BACA JUGA: Kaitan skandal rasuah Adam Radlan dengan Mahiaddin Yassin

Tuduhan RM92.5 bilion: Adakah Mahiaddin bakal didakwa? Bahagian 3

Tuduhan rasuah RM92.5 bilion: Adakah Mahiaddin akan didakwa? Bahagian 2

Tuduhan rasuah RM92.5 bilion: Adakah Mahiaddin akan didakwa? Bahagian 1